suria

Ikea Mohon Maaf, Tarik Balik Iklan 'Wanita Bujang'

- Gambar fail

BEIJING: Gedung perabot gergasi Ikea, menarik balik iklan televisyennya di China, selepas menerima kritikan penonton kerana memberikan imej negatif terhadap wanita bujang, lapor agensi berita China Xinhua.

Iklan bermula dengan seorang ibu memberitahu anak perempuannya, 'Jangan panggil saya ibu, jika anda masih tidak dapat membawa balik ke rumah seorang teman lelaki.'

Apabila anak perempuannya membawa balik seorang teman lelaki ke rumah, ruang tamu rumah berubah secara drastik, memperlihatkan aksi ibu bapa menghias rumah dengan mudah menggunakan barangan Ikea.

Ia kemudian disusuli dengan kapsyen 'raikan setiap hari dengan mudah', tertera di skrin.

Kritikan di media sosial menyifatkan iklan itu menggalakkan pemikiran kuno, supaya wanita berkahwin lebih awal, seelok-eloknya seawal usia 20-an.

Di China, wanita bujang berusia lewat 20-an atau lebih tua sering menerima tekanan supaya berkahwin lebih awal, terutama daripada ibu bapa.

IKEA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memahami kebimbangan orang ramai terhadap iklan itu dan meminta maaf kerana 'memberikan tanggapan yang salah'.

Masalah iklan ditarik balik membabitkan jenama terkenal dari negara asing, bukan kali pertama berlaku di China.

Sebelum ini, pada Julai jenama kereta Audi terpaksa menarik iklan kerana dikatakan membandingkan wanita dengan kereta terpakai. -Bernama

wanita bujang, iklan Ikea

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain