suria

Polis Antara Mangsa Serangan Pengganas Di Somalia

MOGADISHU: Serangan bom disyaki dilakukan pengganas yang berlarutan selama 12 jam di sebuah hotel di ibu negara Somalia di sinipada Ahad telah mengorbankan 25 nyawa.

Angka korban termasuk polis, pengawal keselamatan di hotel berkenaan dan juga penduduk setempat.

"Jumlah mangsa dijangka meningkat. Kami mengesyaki serangan dilakukan militan yang menyamar dan turut melarikan diri bersama pelanggan hotel yang diselamatkan.

"Bagaimanapun, tiga militan telah dapat ditawan, manakala dua lagi  telah meletupkan diri selepas ditembak pasukan keselamatan," kata pegawai polis Mejar Mohamed Hussein kepada Reuters.

Serangan itu bermula kira-kira pukul 5 petang pada Sabtu dengan bom kereta sebelum penjenayah bersenjata menyerbu bangunan hotel itu.

Insiden mencemaskan ini berlarutan sehingga pagi Ahad.

Saksi memberitahu Reuters, sekurang-kurangnya tujuh mayat dilihat dalam bangunan hotel itu.

Letupan bom itu telah memusnahkan bahagian depan bangunan tiga tingkat itu dan juga hotel bersebelahan.

Setakat ini, kumpulan militan al Shabaab mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan itu.


Somalia, al Shabaab

Artikel Berikut

Artikel Lain