SEORANG wanita berusia 83 tahun dari selatan China telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun kerana membunuh anaknya yang kelainan upaya. Mahkamah di Ghounzhou, wilayah Guangdong, mendapati wanita yang hanya dikenali sebagai Huang, bersalah membunuh anaknya yang berusia 46 tahun. Namun, alasan yang diberi olehnya menyebabkan mahkamah memberi penagguhan pelaksanaan hukuman selama empat tahun. "Walaupun dia bersalah, dia layak mendapat pengampunan," ujar Wan Yunfeng, pengerusi mahkamah dan ketua hakim. Pendengaran kes itu dilakukan pada 9 Mei lalu di mana Huang mendedahkan dia memberi 60 pil tidur serta menjerut leher anaknya dengan skaf sutera dan menutup hidungnya dengan pad kapas. Sewaktu perbicaraan pada 21 September, dia mengaku terpaksa membunuh anaknya, Li kerana bimbang tiada siapa mahu menjaganya selepas dia meninggal. Menurut laporan, dia menyerahkan diri kepada polis pada hari kejadian. "Saya tidak pernah berputus asa dengannya. Dia anak saya. Tapi kesihatan saya merosot sejak dua tahun lalu, sukar untuk menjaganya. "Saya semakin tua dan lemah, mungkin saya mati sebelum anak saya. "Saya dapat idea untuk membunuh dia seminggu lalu," ujar Huang sewaktu dia menyerah diri. Tambahnya, dia turut menulis nota sebelum memberi pil tidur kepada anaknya dan menjelaskan tindakan itu adalah idea dirinya sendiri dan tiada kaitan dengan sesiapa. Anaknya dilahirkan tidak cukup bulan dengan beberapa kecacatan mental dan fizikal yang menyebabkan dia tidak boleh berjalan atau bercakap. Di mahkamah, pendakwa raya menyoal Huang kenapa dia tidak menyerahkan Li kepada abangnya. Katanya, dia tidak mahu membebankan abangnya. "Ia salah saya sebab melahirkan Li dan membuat dia merana. Saya rela membunuh dia dari memberi kepada orang lain," ujar Huang. Anak sulung Huang berkata, ibunya menjaga Li sejak lahir dan terpaksa berhenti kerja ketika adiknya berusia 10 tahun untuk penjagaan sepenuh masa. Hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan ke atasnya bagaiamanapun ditangguhkan pelaksanaanya selama empat tahun.