SEORANG lelaki dari Chile mengejutkan dunia selepas rekod rasmi dirinya menunjukkan umurnya lebih tua berbanding pemegang rekod rasmi manusia tertua di dunia. Berdasarkan kad pengenalannya, Celino Villaneuva Jaramillo dilahirkan pada 1896 dan kini berusia 121 tahun. Ini bermakna, dia dilahirkan empat tahun sebelum pemegang rekod dunia Guinness ketika ini, Nabi Tajima dilahirkan. Bagaimanapun, timbul misteri mengenai latar belakang Jaramillo, yang dikenali sebagai Don Celino, yang muncul di rumah seorang wanita, Marta Ramirez pada usia 99 tahun dan sejak itu tinggal di sana. Bekas pekerja ladang tebu itu tinggal sehelai sepinggang selepas kejadian kebakaran, memusnahkan harta bendanya termasuk sijil kelahiran asalnya. Ramírez mengakui dia tidak menjangka lelaki yang lemah, buta, pekak dan tidak dapat berjalan tanpa bantuan itu dapat tinggal dengannya 20 tahun kemudian. Dia memberitahu Guardian: "Ketika itu dia berusia 99 tahun, saya tak fikir dia akan dapat hidup lebih lama lagi." Pejabat statistik Chile telah mengesahkan umur Jaramillo adalah 121 walaupun terdapat pertikaian mengenai tarikh kelahirannya. Ketua Jabatan Demografi Jacqueline Salinas berkata: "Pemeriksaan rekod kami menunjukkan Celino Villanueva Jaramillo memang dilahirkan pada 25 Julai 1896 dan dia masih hidup." Ketika Jaramillo berusia 115 tahun, presiden negara itu, Sebastián Piñera terbang untuk bertemu dengannya dan memberikan hadiah untuk penduduk tertua di negara itu. Jaramillo dilahirkan di Rio Bueno pada tahun yang sama Olimpik moden pertama diadakan dan Ratu Victoria menjadi Raja Inggeris paling lama berkhidmat. Buruh ladang itu, yang tidak pernah berkahwin, menghabiskan tiga dekad yang lalu dengan bekerja untuk seorang majikan yang akhirnya memecatnya pada hari ulang tahunnya yang ke-80. Selepas itu dia berpindah ke Mehuin, sebuah bandar kecil di sebelah Pasifik, di mana dia mencari rezeki dengan menjual sayur-sayuran. Tetapi dia tiada tempat tinggal selepas rumahnya terbakar dan kini tinggal bersama Ramirez. Dia kini buta 90 peratus kerana menghidap katarak, 85 peratus pekak dan tiada gigi di bahagian kiri. Wanita Jepun, Nabi Tajima secara rasminya adalah orang yang paling tua di dunia, dengan usia 117 tahun. -expressUK