CHENNAI: Sebuah pesawat Qatar Airways terpaksa mendarat cemas apabila salah seorang penumpangnya bertindak agresif di dalam pesawat. Menurut laporan portal antarabangsa, New York Times, penumpang tersebut gagal mengawal diri apabila mendapat tahu suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. "Pesawat tersebut dalam penerbangan ke Bali daripada Doha, Qatar Ahad lalu apabila insiden tersebut tercetus dalam pesawat. "Si isteri yang sudah beberapa ketika mengesyaki suaminya 'bermain' cinta dengan wanita lain menggunakan jari suaminya untuk melepasi sistem pengecaman jari sebagai laluan keselamatan telefon pintar milik lelaki itu. "Apa yang berlaku seterusnya di luar kawalan, di mana isterinya bertindak menyerang lelaki itu dengan ganas. "Tindakan isterinya terlalu agresif sehingga memaksa pesawat melakukan pendaratan kecemasan," kata laporan portal tersebut. Difahamkan, pesawat itu terpaksa mendarat di selatan India, Chennai untuk menurunkan pasangan itu sebelum meneruskan kembali perjalanan ke destinasi. Pihak Qatar Airways ketika dihubungi media enggan memberikan sebarang kenyataan atas alasan menjaga privasi pelanggan. Bagaimanapun sumber menerusi The Times of India melaporkan, pasangan tersebut mengambil masa sehari untuk ditenangkan sebelum diterbangkan kembali ke Doha.