RIYADH: Putera dan pegawai tinggi kerajaan Arab Saudi yang ditahan kerana disyaki terlibat rasuah didakwa tinggal di hotel lima bintang, demikian laporan Reuters dan Wall Street Journal. CNN bagaimanapun gagal mengesahkan dakwaan tersebut kerana pemilik hotel, Marriott tidak memberikan kenyataan susulan. CNN mendakwa, laman web tempahan menunjukkan hotel Ritz-Carlton di Riyadh tidak boleh ditempah sehingga akhir November. Ketika ditanya, pekerja Ritz-Carlton mengatakan tempahan hanya boleh dibuat bermula 1 Disember depan. Orang ramai mula membuat spekulasi mengenai penempatan tahanan di Ritz-Carlton selepas timbul tweet yang mengatakan tetamu dihalau dan komunikasi dengan hotel tersebut diputuskan. "Disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan, talian telefon dan internet telah diputuskan hingga notis seterusnya," kata laman hotel tersebut. Akhir minggu lepas, seramai 17 putera Arab Saudi dan beberapa pegawai tinggi kerajaan ditahan atas dakwaan korupsi oleh satu suruhanjaya. Suruhanjaya anti-korupsi yang baharu ditubuhkan tersebut dan diketuai oleh Putera Mahkota Mohammed Salman diberikan kuasa untuk menyiasat, menahan, melarang tertuduh ke luar negara dan membekukan aset mereka yang didakwa terlibat dalam korupsi. - Sinar Harian