suria

Remaja Rusia Kejutkan Dunia, Dakwa Pernah Hidup Di Marikh

-foto Project Camelot

BORISKA Kipriyanovich, seorang budak lelaki berusia 21 tahun dari Volgograd, Rusia, mendakwa dia pernah hidup di planet Marikh sehinggalah perang nuklear memusnahkan atmosfera dan semua tamadun di planet itu.

Dia kemudian dilahirkan semula di Bumi, tetapi mampu mengingati kehidupannya yang terdahulu.

Boriska mula mendakwa dia berasal dari Marikh pada usia tiga tahun, tetapi ibunya, Nadezhda berkata dia menyedari anaknya itu 'istimewa' sejak dilahirkan ke dunia.

Dia mendakwa langsung tidak berasa sakit semasa melahirkan Boriska dan ketika pertama kali memangkunya, anaknya itu memandang wajahnya tepat seperti seorang dewasa.

Pada usia dua minggu, Boriska sudah boleh mengangkat kepalanya tanpa sokongan dan mengucapkan perkataan pertamanya pada usia empat bulan.

Ibu Boriska mendakwa pada usia satu setengah tahun dia sudah boleh membaca, melukis dan mewarna dan dia dihantar ke sekolah tadika pada usia 2 tahun.

Kemahiran bahasa dan hafalannya yang luar biasanya juga mendapat perhatian guru-gurunya.

-foto Project Camelot

"Semuanya berlaku begitu cepat, saya langsung tak rasa sakit," kata Nadeshda kepada Project Camelot mengenai pengalaman melahirkan Boriska.

"Apabila bayi ditunjukkan kepada saya, dia memandang saya seperti orang dewasa. Saya tahu seorang bayi baru lahir tidak dapat menumpukan perhatian seperti itu.

"Tetapi bayi saya memandang saya dengan mata coklatnya yang besar.

"Kadang-kadang dia duduk seperti bermeditasi dan mula menceritakan fakta-fakta terperinci tentang Marikh, sistem planet dan tamadun lain, yang benar-benar menimbulkan kebimbangan kepada kami," katanya.

"Dia boleh menamakan semua planet sistem suria bersama satelit, nama dan jumlah galaksi.

"Sangat menakutkan pada mulanya, saya fikir anak saya tidak terkawal, tetapi kemudian saya memutuskan untuk periksa sama ada nama dan fakta itu benar. Saya mengambil beberapa buku tentang astronomi dan saya terkejut bila mendapat tahu banyak yang diketahuinya dalam bidang ini."

Boriska yang kononnya dilahirkan semula ke Bumi pada tahun 1996, bersama ramai lagi yang sama 'jenis' dengannya bagi membantu mengelakkan malapetaka yang sama berlaku di sini.

Dia merujuk dirinya dan rakan sejenisnya sebagai 'anak indigo'. Dia mendakwa pertama kali melawat Bumi sebagai perintis makhluk Marikh pada zaman Mesir.

"Saya ingat pada masa itu, ketika berusia 14 atau 15 tahun. Makhluk Marikh telah melancarkan peperangan setiap masa jadi saya terpaksa menyertai serbuan udara dengan seorang rakan," kata Boris dalam temu bual tersebut.

"Kapal angkasa Marikh sangat rumit. Ia berlapis dan boleh terbang di seluruh alam semesta."

-foto Project Camelot

Boris menyifatkan mahluk Marikh boleh mencapai ketinggian 7 kaki, penuaan terhenti sekitar 30-35 tahun dan bernafas dalam karbon dioksida.

Ketika ditanya oleh Project Camelot mengapa dia tidak perlu menghirup karbon dioksida, dia menjawab: "Jika saya berada dalam badan seperti ini, saya menghirup oksigen. Tetapi kamu tahu, ia menyebabkan penuaan."

"Tidak, saya tidak takut akan kematian, kerana kami hidup selamanya," katanya yang mendakwa dirinya makhluk Marikh.

Dia mendakwa, 'orang-orangnya' masih hidup, tetapi sekarang hidup di bawah tanah akibat daripada perang nuklear di permukaan.

Mengenai hubungannya dengan orang Mesir, Boriska berkata: "Kehidupan manusia akan berubah apabila Sphinx dibuka, ia mempunyai mekanisme pembukaan di suatu tempat di belakang telinganya, saya tak dapat mengingatinya dengan tepat."

Dia juga bercakap mengenai tamadun purba yang dipanggil The Lemurians, yang hidup di Bumi tetapi telah musnah apabila bencana alam menyebabkan lautan merosakkan seluruh benua.

Temu bual Boris dengan Project Camelot telah dilakukan bertahun-tahun yang lalu dan walaupun ia menarik perhatian ramai pada masa itu, maklumat baharu mengenainya tidak dapat ditemui sama ada di laman web bahasa Inggeris atau Rusia.

Marikh, Bumi, Boriska Kipriyanovich

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain