PERNAH termimpi untuk berhenti kerja dan menikmati percutian di pantai yang indah selama enam bulan, namun terpaksa lupakan impian tersebut kerana anda tidak mampu? Kini, angan-angan itu mungkin boleh menjadi kenyataan dan lebih menarik lagi, anda dibayar sebanyak GBP45,000 (RM248, 489) untuk menikmati percutian itu. Sebuah bandar di Mexico iaitu Cancun sedang mencari seseorang untuk menetap di bandar itu antara bulan Mac hingga Ogos tahun depan. Bukan itu sahaja, wang yang diberikan itu tidak perlu digunakan untuk membayar sewa rumah kerana iklan yang dikeluarkan menyataka: "Mereka akan ditempatkan di beberapa hotel mewah dan resort sepanjang tempoh tersebut. "Semua kerja berkaitan penginapan, perjalanan (excursion) dan peralatan akan dibayar sepenuhnya oleh Cancun.com." Pasti anda tertanya-tanya apakah yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan idaman itu. Tiada apa-apa yang perlu diberikan kerana anda hanya perlu bawa diri. Pelancong menikmati keindahan pantai di Cancun, Mexico. - Medioimages/Photodisc Bandar tersebut mahu seseorang yang boleh menjadi duta jenama dan mampu mempamerkan kehangatan, keindahan dan suasana sebenar di Cancun sebagai destinasi percutian terulung dunia." Nama bagi jawatan pekerjaan tersebut adalah CEO yang biasanya membawa maksud Chief Executive Officer (Ketua Pegawai Eksekutif) yang pastinya dibebani dengan pelbagai bentuk tekanan. Namun, jawatan CEO di bandar pantai Mexico itu adalah Cancun Experience Officer (Pegawai Berpengalaman Cancun) yang kedengaran lebih menyeronokkan. Iklan di laman web tersebut menyatakan: "Sebagai CEO, anda berpeluang untuk berenang dengan ikan paus jerung, menerokai hutan, meneliti tinggalan purba dan pelbagai lagi. "Sepanjang tempoh enam bulan itu, anda akan melakukan kajian, mengambil gambar, merakam video dan mewakili destinasi untuk Cancun.com." Menariknya, tiada pengalaman diperlukan dan syarat minimum hendaklah berusia 18 tahun sebelum 1 Januari 2018. Pesisir pantai Cancun. - The Image Bank Tiada had umur untuk jawatan tersebut dan sekiranya anda sudah bersara dan berasa mampu memberikan khidmat terbaik, boleh cuba untuk memohonnya. Selain itu, calon hendaklah fasih menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Calon yang dikehendaki haruslah memiliki kemampuan untuk menyampaikan cerita, mudah mesra untuk berinteraksi dengan orang lain, penuh motivasi dan berdedikasi untuk menghasilkan kerja yang berkualiti tinggi. Jika anda berasa anda memiliki semua ciri yang dicari, permohonan boleh dibuat melalui laman web ceo.cancun.com dan tarikh tutup permohonan adalah pada 17 Disember 2017. - Mirror