SEORANG doktor warga Britain menceritakan detik cemas ketika dia menumbuk seekor jerung yang cuba menyerangnya di perairan timur Australia. Lelaki berusia 25 tahun ini terselamat apabila hanya cedera digigit mamalia itu di bahu dan tangan. Berusia 25 tahun, Charlie Fry ketika itu sedang meluncur air bersama tiga rakannya di Pantai Avoca, New South Wales. "Saya dapat lihat jerung itu melompat keluar dari laut dengan mulutnya terbuka dan giginya nampak jelas sekali. Saya terus menumbuknya pada muka haiwan itu. "Pada mulanya saya rasa akan mati dimakan jerung," kata Fry ketika ditemui pusat penyiaran Channel Nine pada Selasa. Menurut pegawai perubatan itu lagi, jerung berkenaan berukuran antara 1.5 hingga 1.8 meter panjang. Bagaimanapun, pasukan perkhidmatan menyelamat helikopter berkata, pihaknya mengesan kehadiran dua ekor jerung masing-masing berukuran tiga meter di perairan Avoca. Fry yang dapat meluncur ke pantai bersama rakannya selepas kejadian itu hanya mengalami cedera ringan. "Saya anggap diri saya sangat bertuah," katanya. Sejak awal tahun ini, 16 serangan jerung direkodkan termasuk yang menyebabkan kematian remaja perempuan berusia 17 tahun di barat Australia.