SEBUAH restoran baharu di Semarang, Indonesia menarik perhatian kerana membantu penduduk tempatan yang miskin, dengan menyediakan alternatif untuk membeli makanan. Kantin Gas Methan yang diusahakan sepasang suami isteri, Sarimin dan Suyatmi terletak di lokasi yang tidak dapat dibayangkan untuk sebuah restoran, iaitu di tapak pelupusan sampah Jatibarang di Semarang, Jawa Tengah. Tapak pelupusan itu dipenuhi dengan sampah sarap di mana penduduk tempatan yang miskin akan menghabiskan masa mereka untuk mencari plastik dan kaca yang boleh dijual. Pasangan itu menghabiskan masa selama 40 tahun sebelum memutuskan untuk membuka restoran. Selain lokasinya yang pelik, restoran ini juga tidak memerlukan wang tunai untuk membelu makanan. Penduduk miskin mempunyai pilihan untuk membayar menggunakan sampah yang boleh dikitar semula. Bayar makanan menggunakan plastik yang boleh dikitar semula. Sarimin, 56, berkata, setiap berat plastik yang dibawa pelanggan akan dikira dan ditolak dengan kos makanan, dan memberi bayaran balik sekiranya terdapat lebihan nilai. Pendekatan itu merupakan penyelesaian untuk mengurangkan bahan terbuang di tapak pelupusan dan mengitar semula plastik. "Saya rasa kita mengitar semula 1 tan sampah plastik sehari, yang mana begitu banyak. Dengan cara ini, sampah plastik tidak akan menimbun, hanyut ke sungai dan menyebabkan banjir," kata Sarimin dalam satu temuramah bersama Channel News Asia. "Ia bukan hanya memberi manfaat kepada mereka yang mencari barang-barang terbuang, tetapi untuk kebaikan semua." Restoran itu boleh menampung 30 orang pada satu-satu masa dan menyediakan makanan berharga antara AS$0.40 (RM1.67) dan AS$0.80 (RM3.34). Antara sajian yang disediakan adalah nasi ayam dengan ikan keli, sup sayur, dan nasi bersama telur rebus. Sejak kantin tersebut dibuka, Sarimin dan Suyatmi meraih pendapatan harian lebih sekali ganda kepada AS$15 sehari, berbanding dengan apa yang diperolehnya dengan mengutip bahan terbuang. - odditycentral