SEORANG wanita mengaku bersalah kepada polis bahawa dia menanam empat bayinya yang baharu lahir di dalam baldi dipenuhi konkrit kerana mendakwa terlalu miskin untuk menyara kehidupan mereka. Mayumi Saito, 53, menyerah dirinya kepada polis selepas membunuh empat bayi tersebut, dua dekad lalu. Dia mengaku berasa bersalah kerana tidak mampu menjaga mereka. Suspek ditahan pada Rabu atas pertuduhan membuang mayat, sehari selepas dia pergi ke balai polis Osaka untuk mengakui kesalahan tersebut. Seorang pegawai polis berkata rangka manusia dikenal pasti di dalam baldi yang ditemui di kondominiumnya. Saito dipetik sebagai berkata dia menanam kesemua mayat itu di dalam konkrit sejak 1992 hingga 1997 kerana kurang berkemampuan untuk membesarkan mereka. Wanita itu melakukan kerja sambilan tetapi maklumat terperinci mengenai pekerjaan dan ahli keluarganya tidak dinyatakan. Punca sebenar kematian bayi tersebut masih dalam siasatan polis.