HASRAT seorang wanita untuk memiliki sebuah telefon pintar iPhone terbantut apabila bungkusan yang diperolehinya mengandungi 11 potongan kecil ubi kentang. Mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu mendakwa dia diperdaya seorang lelaki yang menjual telefon bimbit tersebut pada harga AS$100 sempena jualan 'Black Friday'. Wanita itu mendakwa dia meninggalkan rumahnya di Milwaukee, Wisconsin untuk melihat barangan yang ditawarkan lelaki terbabit. "Dia ada segalanya, baju, kasut, jam tangan, dompet, DVD, CD, telefon bimbit dan juga komputer riba. "Saya tanya kepada lelaki itu mengenai iPhone 6 dan dia kata ada. Dia akan jual kepada saya pada harga AS$100," dakwa wanita itu. Lelaki tersebut memberitahu mangsa bahawa telefon pintar itu sudah diaktifkan dan bil pertamanya perlu dibayar pada pertengahan bulan depan. Mangsa berkata lelaki itu menyerahkan telefon bimbit tersebut yang berada dalam keadaan baik kepadanya. Malah mangsa turut meminta lelaki itu supaya menghubungi telefon bimbit tersebut bagi memastikan ia benar-benar berfungsi, dan ia berdering. Dia menyerahkan wang AS$100 dan beredar bersama sebuah kotak yang kononnya mengandungi sebuah iPhone dan juga resit. "Kotak itu berat dan sebaik sahaja sampai di rumah, saya buka kotak tersebut dan ia dipenuhi 11 potongan kecil ubi kentang," katanya. Bukan itu sahaja, lelaki terbabit turut membungkus ubi kentang tersebut bersama dengan pengecas telefon pintar.