BALI: Pusat Krisis Kementerian Pelancongan yang juga dikenali sebagai Hospitaliti Pelancongan Bali (BTH) menyediakan bas untuk membawa pelancong terkandas untuk kembali ke hotel dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di sini yang ditutup sejak 27 November. Beberapa hotel di Bali turut menawarkan penginapan secara percuma selama satu malam dan diskaun 50 peratus untuk hari berikutnya kepada pelancong yang terjejas akibat pembatalan penerbangan atau mereka yang mahu melanjutkan tempoh penginapan. Syarikat pengembaraan di Bali juga mengarahkan kakitangan mereka untuk menyediakan bantuan kepada para pelancong. Dalam pada itu, sebanyak 15 tempat berhimpun atau perlindungan untuk pelancong terkandas iaitu Grand Inna Bali Beach Hotel, ITDC Nusa Dua, Krisna Oleh-oleh Sunset Road, Krisna Wisata Kuliner, Taman Ayu, Bali Bird Park, Bali Adventure Tours, Bali Safari and Marine Park, Kertalangu Tourist Village, True Bali Experience, Bencingah Puri Ubud, Pod Chocolate, Taman Sari, Ubud Adventure Center dan Pod Chocolate Cafe Sunset. BHT turut melaporkan bahawa syarikat-syarikat penerbangan mengambil kebajikan penumpang dengan segera, dengan sebahagiannya menyediakan baucar hotel untuk mereka yang mahu melanjutkan penginapan. Bagi pelancong asing, pejabat imigresen menawarkan lanjutan visa selama sebulan kepada mereka yang terjejas. - The Jakarta Post/Asia News Network