SEORANG gadis berkongsi kisah menyayat hati mengenai bapanya di laman Twitter. Menurut gadis tersebut, dia masih menerima jambangan bunga daripada bapanya yang sudah meninggal dunia sejak dia berusia 16 tahun. "Dia telah membayar kesemua bunga tersebut supaya saya dapat menerimanya setiap tahun pada sambutan hari lahir saya," tulis Bailey Sellers di laman Twitternya. Namun, tahun ini akan menjadi jambangan bunga terakhir diterimanya. Sejambak bunga berwarna ungu berserta kad ucapan dengan mesej istimewa merupakan sebahagian daripada hadiah sempena sambutan hari lahirnya yang ke-21. Antara mesej sebak yang dikongsi Bailey di Twitternya. "Ini adalah mesej terakhir saya kepada anda sehingga kita bertemu lagi. Saya tidak mahu anda mengalirkan air mata untuk saya kerana saya berada di suatu tempat yang lebih baik. "Saya akan bersama dengan anda dalam setiap langkah... hanya lihat di sekeliling dan saya ada di sana," demikian ucapan yang ditulis bapa Bailey yang dikongsinya di Twitter. Posting itu mendapat sebanyak 1.4 juta like oleh netizen. Bapa Bailey, Michael disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat pada 2012, seminggu selepas Krismas, lapor The Independent. Dia meninggal dunia enam bulan kemudian. Menurut ABC News, Bailey yang juga anak bongsu daripada empat beradik memilih untuk bersekolah dari rumah kerana ingin menjaga bapanya.