suria

Jam Tangan Mewah TPM Thai Jadi Perhatian

Prawit Wongsuwan. -fotoCoconutsBangkok/FBThe Beach Bar Samui

TIMBALAN Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan berdepan kontroversi selepas aksesori di tangannya yang dilaporkan bernilai jutaan baht menjadi perhatian.

Gambar Wongsuwan sedang menutup matanya dari pancaran matahari tular pada Isnin selepas Kabinet baru mengadakan mesyuarat pertama dan para menteri kemudian mengambil gambar berkumpulan.

Dalam kalangan semua anggota kabinet, Wongsuwan yang juga menteri pertahanan menjadi individu paling mencuri tumpuan apabila dia dilihat memakai jam tangan mewah dan cincin batu berlian besar.

Jam tangan tersebut dikenal pasti sebagai jam tangan Richard Mille yang berharga antara Bt4 juta dan Bt10 juta.

Gambar-gambar yang tersebar dalam talian itu menunjukkan jam tangan yang dipakai Wongsuwan berjenama sama seperti yang dipakai oleh pemain tenis elit Rafael Nadal, yang pendapatan tahunannya dilaporkan oleh majalah perniagaan antarabangsa antara AS$35 juta dan AS$42.5 juta (Bt1.14 bilion -Bt1.38 bilion).

Jam tangan Richard Mille juga popular dalam kalangan selebriti berprofil tinggi seperti penyanyi Ed Sheeran, Jay Z dan Kanye West, selain turut dipakai oleh pelakon Joe Manganiello dan pemain bola sepak paling mahal dunia Neymar da Silva.

Jay-Z (kiri) dan Prawit Wongsuwan. -fotoCoconuts/FBThe Beach Bar Samui

Netizen mempersoalkan bagaimana seorang pegawai tentera mampu memiliki barangan mewah itu dan tertanya-tanya apakah dia telah melaporkan pemilikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (NACC).

Wongsuwan didapati tidak mengisytiharkan pemilikan Richard Mille atau cincin berlian dalam senarai aset dan liabiliti yang dikemukakan kepada NACC ketika dia menjadi timbalan perdana menteri pada tahun 2014.

Ahli pasukan perundangan Parti Pheu Thai, Ruangkrai Leekijwattana pada Selasa menggesa NACC untuk menyiasat sama ada Wongsuwan cuba menyembunyikan asetnya.

Setelah membuat pemerhatian terhadap jeneral itu sejak dia berkhidmat sebagai ketua tentera di bawah pemerintahan Abhisit Vejjajiva sehingga peranannya sebagai tokoh utama dalam kerajaan junta, Leekijwattana mengatakan bahawa Wongsuwan mungkin memiliki sejumlah aset, termasuk barang kemas dan jam tangan yang bernilai lebih dari Bt200,000 yang didakwa telah disembunyikannya daripada NACC. -TheNationMultimedia

jam tangan, Richard Mille

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain