SEORANG wanita tidak dapat duduk selama lebih dari 10 tahun gara-gara terdapat bengkak bernanah berukuran sebiji buah limau di bahagian punggungnya. Nicola Fletcher, 36, mula mempunyai bengkak itu ketika berusia 19 tahun akibat penyakit Crohn atau kolitis berulser, satu keadaan yang menyebabkan radang pada sistem pencernaan atau usus. Selepas 10 tahun mengalami 'kesakitan ngeri', yang mana pada masa itu dia tidak dapat duduk dan terpaksa berlutut atau berdiri, ahli perubatan bersetuju melakukan pembedahan di bahagian punggung kanannya. Walaupun pembedahan itu melegakan penderitaannya, ia meninggalkan bekas luka yang besar, menyebabkan dia terpaksa menutupnya dengan tatu bunga ros yang dibuatnya pada harga £300. -fotoMirror/PA Real Life Ibu kepada enam anak ini yang tidak mampu bekerja kerana keadaannya ketika itu berkata: "Saya menderita sakit selama 10 tahun dan walaupun saya sangat gembira kerana ia dapat dirawat, saya sangat malu dengan parut luka itu. "Saya sangat gembira dengan tatu ini. Anda tidak tahu bahawa ada parut di bawah tatu itu. "Tatu itu memberikan saya keyakinan dan kini saya gembira untuk menunjukkan tubuh saya." Nicola, yang kini sedang menjalin hubungan dengan seorang ahli elektrik, Michael Causon, 37, menceritakan bagaimana dia yang mula mengalami gejala itu pada usia 10 tahun, terpaksa berulang-alik ke tandas dan susut berat badan. Pada mulanya, Nicola, dari Blackpool, Lancashire, terlalu malu untuk memberitahu bapanya Robert Fletcher dan ibunya Janet Fletcher, 56, tetapi selepas beberapa bulan, dia terpaksa memaklumkannya kepada mereka sebelum dibawa ke hospital. Pada awalnya, dia dianggap mengalami gangguan makan kerana berat badannya turun mendadak, tetapi ujian lanjut di Hospital Kanak-Kanak Booth Hall di Manchester mendedahkan bahawa dia sebenarnya menghidap penyakit Crohn. "Mereka mula merawat saya dengan ubat-ubatan berbeza, termasuk steroid, sehinggalah melakukan rawatan alternatif terakhir membabitkan proses mengeluarkan sebahagian usus dan bahan buangan dibuang di dalam beg khas di perut. "Saya masih muda ketika itu, saya tak fikir saya faham tetapi saya gembira mereka buat sesuatu," katanya. Berikutan pembedahan 'ileostomy' itu, Nicola belajar bagaimana untuk menguruskan beg tersebut dan mengeluarkannya najis atau sisa buangan apabila ia penuh dan kesihatannya bertambah baik. -fotoMirror/PA Real Life Tetapi tujuh tahun kemudian, ketika dia berusia 19 tahun, dia mengalami sakit yang teramat di bahagian punggungnya. Dia sekali lagi terpaksa dibedah dan berulang-alik ke hospital. Ketika itu jugalah bengkak di punggungnya membesar seperti buah oren. "Saya tiada kehidupan. Saya tak boleh duduk selama 10 tahun. Saya terpaksa bersandar menyenget, melutut saya atau hanya berdiri. "Saya terpaksa guna tongkat untuk bergerak dan mengambil 'patch morfin' kerana terlalu sakit. "Pada masa itu, saya mempunyai tiga anak, dan ia benar-benar memilukan kerana saya tidak dapat melakukan banyak perkara dengan mereka. Saya tahu ia bukan salah saya tetapi saya rasa sangat bersalah, seperti ibu yang paling teruk di dunia." "Saya sangat terbuka mengenainya. Ia sangat menyakitkan, saya tidak dapat menyembunyikannya." Selepas 10 tahun menderita, Nicola dirujuk ke Hospital Salford Royal pada tahun 2011. Di situ, dia didiagnosis menghidap Crohn's perianal, di mana keradangan di sekitar dubur menyebabkan bengkak besar, dipenuhi dengan nanah. Walaupun dia melalui tempoh pemulihan selama tiga bulan, pembedahan itu bermakna dia mampu menjalani kehidupan normal sekali lagi. "Sebaik sahaja jangkitan mula meninggalkan badan saya, saya mula berasa lebih baik," katanya. "Ia menakjubkan. Saya dapat bermain dengan anak-anak saya dan duduk dengan normal di meja bersama mereka. Ini amat bermakna bagi saya dapat menikmati masa bersama mereka." Tetapi pembedahan itu juga menyebabkan bahagian punggungnya mempunyai bekas luka. -fotoMirror/PA Real Life Dia menambah: "Saya enggan berenang atau melakukan apa-apa aktiviti seperti itu kerana orang akan melihat bekas luka itu. Mereka akan melihatnya atau bertanya kepada saya." Kemudian, tahun lalu, dia melihat satu posting oleh studio tatu tempatan Modz 'n' Rockers di Blackpool, mengenai parut pembedahan yang boleh ditutup. Pada 28 November tahun lepas, Nicola akhirnya mengambil risiko dan menghabiskan enam setengah jam duduk di kerusi pengukir tatu. Bentuk bunga ros yang dicadangkan untuknya benar-benar menutup parut di punggungnya. "Ia tidak menyakitkan. Ia mungkin sakit untuk orang lain tetapi apabila anda telah melalui kesakitan yang saya telah lalui, ia langsung tak menyakitkan." -mirrorUK