LOS ANGELES: Ladang avocado dan lemon antara yang turut musnah dalam kebakaran yang melanda di selatan California dan ketika ini api masih marak berikutan angin yang bertiup kencang. Setakat ini, pasukan bomba telah memadamkan kebakaran di lebih 53,400 hektar di kawasan Ventura. Bencana itu juga telah memusnahkan kira-kira 400 rumah dan struktur lain. Bagaimanapun, dalam kalangan pakar menjangkakan kerugian tinggi akan ditanggung pemilik ladang avocado kerana keadaan panas dan angin kering Santa Ana yang menyebabkan hasil tanaman itu luruh. Tanamanan itu tidak boleh dijual jika ia jatuh ke tanah kerana ia melanggar syarat keselamatan makanan. "Buah itu sepatutnya dapat dituai tahun depan, bagaimanapun setakat ini majoritinya hasil tanaman itu telah jatuh ke tanah kerana bencana yang dialami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Biro Ladang Ventura, John Krist. Avocado ditanam di kawasan tanah tinggi kerana akarnya yang pendek dan kebiasannya dituai antara Februari dan Mac setiap tahun. Kebiasannya ia akan matang dan berbuah dengan banyak pada Disember. Selain avocado, kawasan Ventura juga adalah pengeluar terbesar lemon di California iaitu 90 peratus untuk avocado dan 80 peratus adalah lemon. Sejak lima hari lalu, lebih 190,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing. Angin kencang dijangka berlanjutan sekali gus membuatkan keadaan semakin buruk. Lebih 4,000 anggota bomba, puluhan pesawat dan helikopter dikerahkan untuk memadam kebakaran di Los Angeles dan Ventura.