BAITULMAQDIS: Remaja perempuan Palestin yang menampar tentera Israel di Tebing Barat menerima padah apabila ditahan askar rejim itu. Penahanan Ahed Tamimi itu dibuat susulan video dia bertindak kasar terhadap anggota tentera itu tular di Internet. Rakaman yang dipercayai diambil Jumaat lalu menunjukkan dua remaja perempuan mendekati dua askar Israel sebelum menyerang, menendang dan menampar mereka sambil merakamnya menggunakan telefon bimbit. Kejadian dipercayai berlaku berhampiran rumah Ahed di kampung Nabi Saleh di Tebing Barat. Pada Selasa, tentera Israel menyerbu rumah Ahed dan menahannya, kata bapanya, Bassem. Pasukan keselamatan itu juga merampas telefon bimbit, komputer dan peralatan elektronik lain. “Mereka tidak menyatakan sebab anak saya ditahan,” kata Bassem. Keluarga Ahed adalah aktivis yang kuat menentang penjajahan tentera rejim itu di Tebing Barat. Sekeping gambar Ahed ketika kecil menggigit tangan askar yang cuba menangkap abangnya menjadi imej simbolik penentangan terhadap Israel. Seorang ahli keluarganya, Mohammed dilaporkan dirawat di sebuah hospital selepas ditembak di kepala dengan peluru getah Jumaat lalu.