SEKUMPULAN wanita berkumpul di Walmart sebagai tindak balas terhadap pasaraya itu yang meminta seorang ibu meninggalkan premisnya kerana menyusu anaknya di khalayak ramai. Walau bagaimanapun, dalam protes tersebut di mana wanita-wanita datang menyusukan anak mereka, seorang wanita berumur memberitahu mereka supaya lebih berselindung dan menyatakan bahawa mereka akan menyinggung ibu bapa lain yang merupakan 'orang Kristian sebenar'. Segalanya bermula ketika Ashley McCall baru sahaja selesai berbelanja di Twin Falls, cawangan Idaho apabila dia duduk di satu ruang untuk menyusukan anaknya, Cillian, yang tidak akan henti-henti menangis. Selepas lima minit seorang kakitangan menghampirinya dan meminta dia meninggalkan tempat itu sambil mencadangkan dia membawa anaknya balik ke rumah. McCall berkongsi kekecewaannya di Facebook, menjelaskan bagaimana dia kemudian duduk di belakang kereta kecilnya untuk menyusu anaknya di tempat letak kereta. "Adakah anda nampak salah seorang daripada kami selesa? Saya terpaksa menahan kaki saya dan dia tersepit antara pintu dan kerusi keretanya," tulisnya bersama empat gambar dia dan Cillian di dalam kereta. "Ini tidak masuk akal," katanya. "Apa salahnya menyusu, kecuali ada orang yang melihatnya sebagai seksual," katanya. Beberapa hari kemudian, McCall bersama rakan-rakannya berhimpun di pasaraya Walmart di tempat mereka untuk menyusukan anak masing-masing yang mana dasar Walmart membenarkan mereka berbuat demikian. Bagaimanapun, ketika ia diadakan, mereka telah didatangani seorang wanita tua yang menyatakan mereka sepatutnya duduk di tempat lebih terasing. "Ada ibu bapa lain yang tidak mempercayainya, ada orang merupakan orang Kristian sebenar," katanya dalam rakaman yang dikongsi di Facebook oleh salah seorang peserta yang hadir, Sarah Ahrens. "Ok, saya pun orang Kristian," kata wanita itu. "Ini bukan tentang mereka," jawab seorang ibu yang memprotes. "Ini mengenai penyusuan ibu dan bagaimana mereka perlu berada dalam keadaan selesa." Video ini telah dikongsi secara meluas dalam talian, mendapat komen sokongan yang menggalakkan daripada ibu-ibu yang marah dengan komen wanita tua itu. "Saya berasa malu dengan kebodohan wanita ini. Dia hidup di mana? Maksud saya, dia betul-betul berfikir bahawa penyusuan ibu hanya dicipta baru-baru ini," tulis seorang netizen. "Orang jahil, teruskan menyusu. Saya menyokong kamu," tambah seorang lagi pengguna. Bagaimanapun, ada juga yang mencadangkan supaya wanita itu menutup sedikit payudaranya yang besar, bukannya membiarkan ia terdedah walaupun mahu menyusu. -independentUK