MAJLIS meraikan hari lahir yang diadakan di sebuah restoran berakhir tragedi apabila premis itu terbakar hingga mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa. Kejadian pada lewat malam di kompleks komersial Kamala Mills itu hanya berjaya dikawal pada 6.30 pagi. Semua yang terkorban kerana sesak nafas, bukannya cedera akibat kebakaran. Seorang doktor di Hospital Memorial King Edward Mumbai memaklumkan kepada agensi berita ANI, sekurang-kurangnya 14 maut dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah sesak nafas. Ketika kebakaran itu berlaku, pelanggan restoran itu telah bersembunyi dalam bilik air dan kerana terperangkap di situ mereka terkorban akibat sesak nafas. Majoriti yang terkorban adalah wanita kerana majlis hari lahir itu khusus untuk mereka. Pemilik dan pengurus restoran berkenaan, 1 Above boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan, bagaimanapun kedua-duanya masih belum ditahan.