suria

Petinju Pondan Siap Sedia Bertarung Di Paris!

Nong Rose giat membuat latihan sebelum terbang ke Paris. -foto AFP

MEMAKAI gincu merah dan bra sukan berwarna merah jambu, Nong Rose bersama kembarnya giat membuat persediaan untuk penampilan pertama luar negara, yang akan menjadikannya sebagai petinju transgender pertama menyertai saingan di Perancis.

Beberapa minggu sebelum pertandingan Muay Thai di Paris, peserta berusia 21 tahun itu giat menjalani latihan di Chachoengsao, Thailand bersama abangnya sebagai rakan 'sparring'.

Tinju adalah sebahagian daripada darah daging adik-beradiknya, yang mana mereka belajar bagaimana untuk mempertahankan diri daripada bapa saudara mereka, seorang petinju Muay Thai profesional, yang mula mengajar mereka teknik asas ketika mereka berusia lapan tahun.

-fotoAFP

"Sejak kecil, kami pernah berlawan...tetapi dia lebih kuat daripada saya," kata saudara kembar Rose, Somrak Polchareon kepada AFP.

Bagi kerajaan Thai, Rose adalah seorang lelaki bernama Somros Polchareon.

Tetapi dia selalu berasa dirinya seperti seorang perempuan dan mula berperwatakan sebagai seorang gadis pada usia 14 tahun.

Di gelanggang, seperti juga dalam kehidupannya, menjadi Rose dan bertanding melawan peserta lelaki tidak selalunya mudah.

"Apabila saya mula berlawan (sebagai seorang gadis), saya takut orang tidak akan menerima saya," katanya kepada AFP sambil mengelap peluh selepas menjalani latihan.

Rose sempat melakukan 'live chat' ketika sesi rehat. -fotoAFP

Thailand terkenal dengan reputasi sebagai negara bebas untuk golongan LGBT, dengan banyak kelab dan hiburan malam yang 'menerima' mereka.

Petinju itu berkata, lawannya yang merupakan lelaki sejati pada mulanya mengejek, malah marah dengan penampilannya.

"Di kampung, semua orang kenal saya, jadi mudah," katanya.

"Tetapi di luar, sesetengah petinju pandang rendah terhadap saya dan menganggap transgender tidak boleh menang."

Ramai golongan transgender Thailand mendakwa mereka dianggap sebagai warga kelas kedua di negara itu, yang mana menukar jantina dianggap sebagai penyakit mental oleh tentera pada tahun 2012.

Amalan ini masih tidak diiktiraf secara sah, menimbulkan masalah dalam proses rawatan atau birokrasi.

-fotoAFP

Rose, yang menjadi petinju profesional selepas tamat pengajian sekolah menengah dua tahun lalu melenyapkan prasangka masyarakat dengan memenangi separuh daripada 300 perlawanan.

Hari ini, dia lebih dikenali dengan lutut besinya.

"Dalam pertempuran, dia selalu menghentak lawan dengan lututnya," kata Chalongchai Meemindee, seorang petinju berusia 25 tahun yang dikenali sebagai 'Phetsuphan'.

Dia menentang Rose pada November lalu.

"Bagus juga dia berada di gelanggang kerana dia dapat menarik penonton, terutama orang asing," katanya.

-fotoAFP

Bagaimanapun, Rose bukanlah petinju transgender pertama di Thailand.

Nong Toom, yang kisahnya difilemkan dalam 'Beautiful Boxer' pada tahun 2004 menggunakan wang kemenangannya untuk kos penukaran jantina.

"Dia adalah idola saya," kata Rose, sambil menambah Toom sering datang untuk menyokongnya di kebanyakan pertandingan.

Dalam pertandingan di Paris pada 6 Januari ini, Rose akan melawan juara Muay Thai Perancis Akram Hamidi dan ia dilihat peluang untuk memajukan kerjayanya selain peluang menonjolkan petinju transgender.

"Ia membantu mempromosikan transgender, untuk menunjukkan bahawa kami juga berharga seperti orang lain. Kami tidak lemah," katanya.

Rose berkata dia merancang untuk melakukan langkah trasgender seterusnya selepas tidak lagi berada di gelanggang tinju.

"Hari ini, saya tidak mengambil hormon kerana ia memberi kesan kepada keadaan saya dan aksi saya. Apabila anda ambil hormon, anda mempunyai tenaga yang kurang.

"Tetapi apabila saya berhenti tinju, saya melakukan pembedahan menukar jantina."

Muay Thai, Nong Rose

Artikel Sebelum

Artikel Lain