suria

Doktor Gigi Diarah Bayar Ibu

SELEPAS 20 tahun menandatangani perjanjian, seorang doktor gigi diperintah membayar sejumlah AS$744,000 kepada ibunya bagi membayar balik perbelanjaannya ketika membesarkannya dan memastikan dia mendapat pendidikan secukupnya.

Perintah itu dikeluarkan  Mahkamah Tinggi Taiwan terhadap lelaki  berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Chu itu.

Hakim memutuskan wanita yang telah bercerai dengan suaminya pada 1990 dan mempunyai dua anak itu berhak mendapat sejumlah wang yang dibelanjakan kepada anaknya itu. Malahan, anaknya pula wajar  menghormati kontrak yang ditandatangani bersama ibunya.

Penceraian pada 1990 menyebabkan wanita yang dikenali sebagai Lo itu  bimbang tiada siapa yang akan menjaganya apabila tua nanti dan timbul idea untuk merangka kontrak berkenaan.

Mengikut dokumen itu, selepas anaknya berusia 20 tahun, mereka perlu membayar 60 peratus daripada pendapatan tahunan mereka.

Lo mendakwa anak-anaknya tidak menghiraukannya selepas mereka mempunyai teman wanita , malahan mereka telah menghantar surat menerusi peguam kepadanya meminta supaya beliau tidak mengganggu anak-anaknya, demikian lapor media tempatan.

Lo telah memfailkan saman lapan tahun lalu apabila anak-anaknya enggan mematuhi kontrak berkenaan. Susulan itu, anak sulungnya telah menyerahkan Tw$5 juta bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Bagaimanapun, anak bongsunya mendakwa menjadi tanggungjawab ibunya membesarkan mereka dan ia tidak sepatutnya diukur dengan nilai wang. Malahan, anak keduanya itu telah menyaman balas terhadap ibunya.

Lo tidak berputus asa dan tetap meneruskan hasratnya untuk mempertahankan haknya menerusi kontrak yang mereka tandatangani selepas mahkamah rendah memihak kepada anaknya.

Pada Selasa, mahkamah tinggi memutuskan kontrak itu adalah sah dan Chu adalah seorang dewasa ketika menandatanganinya, manakala anaknya yang bekerja sebagai doktor gigi itu mampu membayarnya semula sejumlah wang berkenaan.- TheJakartaPost

Taiwan, Chu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain