HARTA milik maharaja India yang menjadi milik keluarga diraja Qatar lesap dalam kejadian rompakan di Istana Doge, Venice. Pihak berkuasa Itali yang menyiasat kejadian itu menganggarkan kehilangan barangan berharga itu mencecah AS$1.2 juta, melibatkan harta karun yang dipamerkan di situ. Dua perompak melarikan anting-anting dan kerongsang pada hari terakhir pameran Treasures of Mughal and the Maharajas yang berlangsung selama empat bulan. Keseluruhannya sebanyak 270 barangan yang dipamerkan itu menampilkan hasil kerja seni India selama lima abad. Penyiasat berkata, kedua-dua perompak itu berjaya membawa barang kemas itu daripada ruang pameran selepas mematikan sistem amaran. Penjenayah terlibat kemudiannya berlegar-legar dalam kalangan pengunjung sebelum melarikan diri. Sistem amaran itu bagaimanapun hanya berfungsi selepas beberapa jam di istana yang dikenali sebagai Palazzo Ducale dan terletak di Saint Mark's Square. "Dua perompak profesional itu merancang rapi dan memiliki kemahiran kerana mampu melarikan barang kemas berharga di ruang pameran dengan mematikan sistem amaran berteknologi tinggi," kata Ketua Polis, Komisioner Vito Gagliardi. Koleksi berkenaan dikumpul oleh Sheikh Hamad bin Abdullah Al Thani dan menjadi milik keluarga diraja Qatar.