MAYAT dua bayi ditemukan 'dibekukan hidup-hidup' di sebuah rumah di Ukraine. Mirror melaporkan menurut polis, kedua-dua mayat bayi itu ditemui di dalam sebuah penyejuk beku di dapur. Penemuan tersebut susulan seorang wanita berumur 34 tahun yang bergegas ke hospital di wilayah Kirovohrad. Polis berkata, wanita itu dalam keadaan yang uzur selepas melahirkan anak di rumah. Wanita berkenaan bagaimanapun enggan menjelaskan kepada pihak doktor di mana bayinya. Pegawai perubatan kemudian pergi ke rumahnya dan menemui mayat bayi yang dibekukan di dalam penyejuk beku. Menurut laporan, mereka turut menemui satu bayi lagi yang dilahirkan kira-kira setahun lalu. Mereka percaya kedua-dua bayi itu 'dibekukan hidup-hidup'. Polis menjalankan siasatan terhadap pembunuhan bayi yang baru lahir. Namun pakar forensik masih menjalankan pemeriksaan sama ada kedua-dua bayi itu masih hidup sebelum dibekukan. Wanita itu sedang menjalani rawatan di hospital. - Mirror