CALIFORNIA: Kedudukan rumah di luar zon perpindahan mandatori, menyebabkan ada dalam kalangan penduduk yang menganggap mereka selamat daripada tragedi banjir lumpur hujung minggu lalu. Bagaimanapun, bencana alam yang berlaku dengan pantas mengakibatkan Gary Goldberg, isteri dan dua anak mereka dengan sukarela meninggalkan kediaman mereka. "Segalanya kerana keselamatan. Serpihan dan pelbagai sisa dari tanah runtuh dan banjir lumpur dihanyutkan dengan pantas," katanya yang berteduh di pusat komuniti Montecito. Insiden yang menimpa kejiranannya begitu mendadak hinggakan ada kediaman yang dihanyutkan lumpur dan sisa mengakibatkan hanya serombong yang kelihatan. Setakat ini, sekurang-kurangnya 17 terbunuh, hampir 20 lagi dilaporkan hilang, manakala ribuan lagi terpaksa meninggalkan kediaman akibat kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh yang dilaporkan berlaku susulan hujan lebat luar biasa di Selatan California. Akhir tahun lalu, kebakaran hutan telah memusnahkan tanaman di kawasan hutan simpan, manakala pada Selasa pagi pula hujan lebat mengakibatkan bencana lain menimpa penduduk kawasan itu. Menurut jurucakap Jabatan Bomba Santa Barbara, Amber Anderson, hanya kira-kira 10 hingga 15 peratus yang mematuhi arahan mandatori itu. "Petugas kecemasan menggunakan anjing dan helikopter untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas di dalam runtuhan," katanya. Susulan timbulnya ancaman tanah runtuh, pihak berkuasa daerah mengarahkan 7,000 penduduk di kawasan itu meninggalkan rumah mereka sebelum hujan turun dan meminta 23,000 yang lain berpindah secara sukarela. Kebakaran hutan bulan lalu, yang terbesar dalam sejarah California, membuatkan kawasan itu terdedah kepada kejadian gelongsoran lumpur.- Reuters