JIKA sebelum ini kereta tanpa pemandu antara yang dirancang untuk masa depan, kini wujud satu lagi ciptaan untuk melancarkan perjalanan - robot bagasi. Dihasilkan syarikat baru berpangkalan di California, Travelmate, ia dikawal aplikasi telefon pintar di mana robot bagasi itu boleh bergerak seiring pemiliknya pada kelajuan 11 kilometer sejam. Sebahagian teknologi yang digunakan untuk kenderaan automatik telah dilengkapkan dalam produk yang diperkenalkan pada Pameran Elektronik Pengguna 2018 di Las Vegas, bagi membantu mengurangkan beban bagasi berat. "Ianya robot yang akan mengikut ke mana pemiliknya bergerak," kata Pengasas dan Presiden Travelmate, Maximillian Kovtun. Travelmate merekabentuk peranti yang mempunyai elemen integrasi pintar untuk bergerak seiring pemiliknya dan diarah menggunakan telefon pintar, umpama dron. Ditawarkan pada harga $1,100, ia dijangka memasuki pasaran Amerika Syarikat pada Februari ini, sebelum ke Eropah dan Jepun. Selain Travelmate, syarikat dari China, ForwardX juga mencipta produk sama tetapi menggunakan pengecaman muka tanpa memerlukan telefon pintar. Pengasasnya, Nicholas Chee berkata, syarikatnya turut mempamerkan prototaip berteknologi tinggi sebagai aspek keselamatan. Menurutnya, ia dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun ini dengan tawaran harga kurang $1,000.