SEORANG budak lelaki berusia 16 tahun mendakwa ibunya di mahkamah kerana menyiarkan gambarnya di Facebook tanpa meminta izin. Lelaki tersebut mendakwa tindakan ibunya memberikan kesan serius terhadap kehidupan sosialnya sehingga dia perlu mempertimbangkan berpindah ke sekolah tinggi di Amerika Syarikat untuk memulakan hidup baharu. Pada Disember lalu, Hakim Monica Velletti dari mahkamah sivil di Rom membuat keputusan bersejarah dengan memihak kepada remaja itu dan memerintahkan ibunya memadamkan semua posting berkaitan anaknya dari akaun media sosial sebelum 1 Februari 2018 atau membayar denda €10,000. Media Itali melaporkan bahawa, mengikut dokumen mahkamah, lelaki berusia 16 tahun itu dan ibunya berdepan konflik sejak ibunya bercerai dengan bapanya. Selepas berpisah, wanita itu didakwa sering memaparkan gambar dan butir-butir peribadi anaknya itu dan merujuk dirinya sebagai 'pesakit mental', malah membandingkannya dengan 'pembunuh'. Hakim Velletti berhujah bahawa gambar dan butiran peribadi lelaki berusia 16 tahun yang sangat banyak di media sosial ibunya membawa kepada keengganannya untuk terus belajar dalam konteks sosial disebabkan butiran peribadinya boleh diakses secara meluas dalam talian. Hakim berhujah bahawa permintaan remaja itu agar dia dipindahkan ke sebuah sekolah di AS, agar dia dapat menjauhkan diri dari konteks sosial sekarang, di mana semua pelajar sekolahnya tahu tentang kehidupan peribadinya, berpunca daripada ibunya yang menggunakan rangkaian sosial secara berterusan dan sistematik. Peguam Giuseppe Croari memberitahu Euronews bahawa ibunya telah melanggar terma dan syarat Facebook dengan memuat naik gambar anaknya dan mendakwa mempunyai hak milik ke atas data peribadinya. Undang-undang hak milik Itali dengan jelas menyatakan bahawa subjek gambar mempunyai hak dan memohon kebenaran perlu dibuat sebelum ia boleh diterbitkan di media sosial. Ibunya telah diperintahkan untuk berhenti membuat kemas kini, foto atau video anak lelaki berusia 16 tahun dan memadam semua data di akaun media sosialnya sebelum 1 Februari 2018. Kes luar biasa ini berlaku selepas seorang lelaki berusia 18 tahun, dua tahun lalu, menyaman ibu bapanya kerana memuat naik lebih dari 500 gambarnya di Facebook, tanpa persetujuannya. Kes-kes seperti ini kini lebih kerap berlaku di seluruh dunia dan pakar undang-undang memberi amarabn kepada ibu bapa supaya tidak menyiarkan gambar anak-anak mereka di media sosial tanpa izin. Selain risiko undang-undang, ia juga berisiko mendedahkan kanak-kanak bawah umur kepada ancaman lebih bahaya, seperti buli siber oleh rakan-rakan mereka.