WASHINGTON: Menjelang tempoh setahun penggal pentadbiran Donald Trump, ribuan wanita berarak di jalanan bagi memprotes terhadap pemimpin nombor satu Amerika Syarikat (AS) itu. Selain di bandar ini, Perarakan Wanita itu juga berlangsung di New York, Los Angeles dan Chicago dan 250 bandar lain secara serentak pada Sabtu. Sepanjang berlangsungnya acara itu, ramai yang tampil mengkritik dasar yang dilaksanakan presiden AS itu terutama yang tidak memihak kepada wanita. Turut terlibat dalam perarakan itu adalah aktres Eva Longoria di Los Angeles. Bagi Trump pula, beliau memberi maklum balas menerusi Twitter menyebut:"Cuaca yang baik di seluruh negara, sesuai untuk semua wanita berarak." Datuk bandar Los Angeles, Eric Garcetti menganggarkan 600,000 berarak dan ia mencatatkan jumlah terbesar dalam acara perarakan di negara itu. Di Chicago pula, ribuan wanita yang berarak telah berkumpul di Grant Park dengan majoriti memegang sepanduk yang menyampaikan mesej tidak berpuas hati dengan diskriminasi terhadap golongan itu. Pihak berkuasa Chicago menganggarkan perarakan itu melibatkan antara 200,000 hingga 300,000 wanita..