suria

Tular Datuk Bandar Terajang Anggota Keselamatan

Datuk bandar mataram Ahyar Abduh mengejutkan ramai apabila menerajang anggota Satpol PP, Rabu. -foto Lombok Post
MENGEJUTKAN apabila seorang Datuk Bandar tiba-tiba bertindak menerajang beberapa anggota yang baru dilantik ke dalam Agensi Arahan Awam (Satpol PP).

Kejadian berlaku Rabu lalu, apabila Datuk Bandar Mataram, Ahyar Abduh dalam satu majlis yang dihadirinya tanpa disangka-sangka bertindak menendang dada beberapa anggota yang sedang berbaris.

Situasi itu mengejutkan semua yang hadir dan gambar tersebut tular di media sosial.

Bagaimanapun, ia sebenarnya adalah tindakan biasa Datuk bandar yang sering bertindak sedemikian untuk menguji ketahanan anggota yang baru dilantik.

Ia mungkin kelihatan seperti adegan filem kung fu, tetapi Ahyar lebih dikenali sebagai ahli dalam seni mempertahankan diri silat dan tinju.


Tindakan Ahyar bagaimanapun menerima kritikan dalam talian, dengan banyak mengkritik bahawa perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang ahli politik berprofil tinggi.

"Yang baiknya seluar tak koyak. Dia menunjukkan mentaliti samseng. Jika mahu tunjukkan kekuatan mental dan fizikal, dia patut tunjukkannya dalam kerja dan ketegasannya. Bukan dengan belasah orang," tulis seorang netizen pada video tular itu.

Ketua Satpol PP Kota Mataram, Bayu Pancapati berkata kejadian anak buahnya ditendang yang tular itu berlaku ketika majlis pelantikan dan penyerahan tongkat komando, Rabu, dan ia adalah satu perkara biasa.

"Jangan kata anggota, saya sendiri diuji olehnya, jadi apa yang dilakukan itu biasa bagi kami. Saya selalu diuji kemampuan fizik dan bela diri oleh Datuk Bandar, bukan bermaksud dia marah, itu biasa, malah anggota kami juga tak ada masalah dengannya," kata Bayu kepada Kompas.com.

Bayu berkata, ketika dilantik sebagai ketua operasi, dia juga menerima 'kejutan' daripada Ahyar.

"Terkejut saya pada awalnya, tiba-tiba dia menendang saya. Kami tak melawan, tetapi kami bertahan, itu cara dia menguji anggota di bawahnya," ujarnya.

Seorang wartawan tempatan yang membuat liputan di majlis itu, Muhammad Kasim turut terkejut dengan adegan tersebut.

Foto yang sempat dirakamkan oleh Lombok Post.


Dia tidak sempat merakamkan momen itu kerana tidak menyangka Datuk Bandar akan bertindak sedemikian.

"Aksi itu tidak selalu ditunjukan Datuk Bandar, semua orang terkejut kerana selepas menyerahkan tongkat komando kepada Ketua Satpol PP Bayu Pancapati yang baru dilantik, dia terus menendang leher tiga anggota Satpol PP yang sedang berbaris," kata Kasim.

Kasim berkata ini kali kedua Datuk Bandar membuat kejutan.

Katanya, pada 2015, Ahyar pernah menunjukkan kekebalan dengan menusukkan keris ke dada kirinya.

Sebagai wartawan, dia melihat peristiwa itu sebagai berita menarik.

Kasim berkata Datuk Bandar mempunyai hak untuk menunjukkan kemampuannya, tetapi sebaiknya tidak dilakukan di hadapan orang awam. -kompas.com

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jamu Piza Sebelum Bunuh Anak

Artikel Lain