SEORANG pelajar telah membuat carian di Google tentang cara-cara membunuh diri sebelum menghantar mesej selamat tinggal kepada teman wanitanya. Connel Arthur bimbang kehilangan tempat tinggal sebelum menyambut Krismas sehingga dia memutuskan untuk mencabut nyawanya sendiri, menurut ibunya. Nathalie Arthur kini mengutuk kewujudan laman web bunuh diri setelah mendapati Connel telah mengakses maklumat khusus tentang teknik bunuh diri yang membawa kepada kematiannya. Pemuda berusia 21 tahun itu yang merupakan pelajar di Universiti Glasgow, didapati mati di dalam biliknya di Reykjavik, Iceland, pada 19 Disember. Keluarganya berkata pemain gitar berbakat dan peminat aktiviti luar ini tidak pernah menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau sebarang masalah kesihatan mental lain tetapi berasa bimbang tentang tempat tinggalnya, lapor Daily Record. "Dia telah berusaha untuk mencari tempat tinggal di Iceland dan saya fikir menjadi gelandangan adalah kebimbangan besar kepadanya. "Saya rasa ada sesuatu yang tak kena, jadi saya hantar beberapa mesej pada minggu itu bertanya keadaanya dan dia kata dia baik-baik saja." -foto FB Connel Arthur Nathalie, pekerja pasar raya yang tinggal di Bannockburn berhampiran Stirling, berkata: "Kehidupan Connel baik-baik sahaja, sebab itulah masalah itu menjadi kejutan. Dia tidak mengalami kemurungan setakat yang kami tahu. "Dia telah berpindah ke Iceland untuk melanjutkan pengajiannya, mempunyai ramai kawan dan bekerja di bahagian belakang sebuah bar. "Kami sepatutnya berjumpa dengannya pada tahun baru. Kami sudah tempah percutian empat hari dari 28 Disember hingga 1 Januari. "Dia menghantar mesej kepada saya pada hari dia meninggal dunia bertanya bila kami akan ke sana tetapi dia tak dapat balasan saya," katanya. Keluarga Connel terbang ke Rekjavik selepas menerima berita yang menyedihkan itu untuk menuntut mayatnya, tetapi terkejut dan marah selepas menemui laman web bunuh diri dalam rekod carian internet Connel. "Terdapat satu perkara utama yang saya mahu tegaskan. Connel telah buat carian Google cara untuk membunuh dirinya sendiri dan dengan mudah dapat mencari maklumat tersebut. "Ramai yang kecoh dengan laman web gangguan makan dan forum bahaya mencederakan diri beberapa tahun yang lalu, jadi mengapa laman web bunuh diri ini tidak dibincangkan dan mengapa wujud? "Ia tak patut ada. Maklumat ini tidak sepatutnya ada untuk orang ramai mengaksesnya," katanya. Bunuh diri adalah penyebab utama kematian dalam kalangan remaja berusia 20-34 tahun di UK, dengan sekitar tiga lelaki mati akibat bunuh diri berbanding wanita. Ia juga merupakan punca utama kematian lelaki di bawah 50 tahun di UK.