DIA sangat teringin untuk bergelar seorang ibu. Ketika menyedari dirinya tidak boleh hamil kerana penyakit paru-paru cystic fibrosis (CF), Bec Arena terus mencari sahabat lamanya, Jessica Brockie. Brockie, yang sudah mempunyai dua anak dengan pemain bola sepak New Zealand, Jeremy Brockie, bersetuju untuk menjadi ibu tumpang kepada anak Arena dan suaminya, Gareth. Dia disahkan hamil sekitar April tahun lalu. "Bukan rahsia lagi bahawa CF telah membuatkan kami sukar menikmati hidup sebagai ibu bapa, jadi mengharapkan kelahiran bayi Arena dalam masa kurang dari enam bulan masih tidak dapat digambarkan," tulis Arena dalam posting Facebook mengumumkan kehamilan anaknya, Julai. "Kami sangat bernasib baik kerana mempunyai Jes dan keluarganya yang membantu kami, siapa sangka semua yang kami lalui di sekolah rendah, kini menjadi seperti ini. "Gareth dan saya tidak tahu apakah kata-kata yang tepat menggambarkan bagaimana kami berterima kasih kepada Jes, Jeremy dan anak-anak mereka kerana sanggup menjadi sebahagian daripada perjalanan ini," tulisnya. -foto FB Bec Arena Tetapi pada September, keseronokan dua keluarga ini bertukar tragedi. Arena meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan penyakitnya. Dia sesekali tidak akan bertemu dengan bayinya. Minggu ini Brockie, yang kini tinggal di Afrika Selatan, melahirkan anak lelaki kepada pasangan itu, Rixon James Arena. "Mudahnya, Rixon James Arena lahir ke dunia ini," tulisnya di Twitter, mengumumkan kelahiran bayi itu. "Satu perjalanan yang luar biasa yang akan menjadi sebahagian daripada kenangan berharga antara saya dan Jeremy selama-lamanya." Dia berkongsi gambar Gareth bersama anak lelakinya itu yang diletakkan di dadanya. Gareth berkata kelahiran anak lelakinya telah diselubungi kesedihan dalam posting di Instagram. "Saya mahu berkongsi klip indah hari perkahwinan kami yang memperlihatkan betapa Bec mahu bergelar seorang ibu," tulisnya. "Ini adalah bahagian paling sukar untuk saya jalani sebagai seorang bapa, saya tak kisah perlu bangun malam dan tukar lampinnya, cuma saya tidak dapat melihatnya di pangkuan Bec," katanya. -Mamamia