PERNAHKAH anda dengar kata-kata peminat coklat bahawa 'biarpun anda tidak boleh membeli kegembiraan, anda boleh beli sebalang Nutella'? Ketika sebuah rangkaian pasaraya Perancis menawarkan potongan sebanyak 70 peratus ke atas barangan berasaskan coklat, para pelanggan berebut-rebut untuk membeli lebih daripada jumlah yang diperlukan mereka. Suasana kecoh itu dilaporkan berlaku di beberapa cawangan pasaraya Intermarche apabila para pelanggan sanggup bergaduh untuk mendapatkan coklat kegemaran mereka. "Ia satu bencana yang benar-benar berlaku, seramai 200 orang berada di luar dan menunggu untuk pasaraya ini dibuka. "Semuanya berpunca daripada balang Nutella," kata seorang pekerja di Metz kepada CNN. Seorang lagi pekerja di Forbach pula berkata kepada AFP: "Pelanggan menyerbu masuk, saling tolak menolak dan merosakkan barangan lain. Ia nampak seperti huru-hara." "Kami hampir menghubungi polis." Seorang kakitangan di Otstricourt terpaksa menghubungi polis selepas suasana tidak lagi boleh dikawal. Harga asal bagi sebalang Nutella adalah bernilai 4.50 Euro (RM21.70) dan harga selepas diskaun pula adalah 1.41 Euro (RM6.80). Bagaimanapun, ini bukanlah kejadian kekecohan pertama melibatkan Nutellah berlaku. Pada September 2015, seorang pembeli berusia 78 tahun di California berkata, dia ditumbuk di wajahnya selepas membuat aduan terhadap seorang pelanggan yang mengambil terlalu banyak sampel wafel Nutella.