suria

Pesawat Penuh Tukang Paip Terpaksa Patah Balik Gara-Gara Kerosakan Tandas

KEDENGARAN seperti jenaka tidak masuk akal tapi berapa ramaikah tukang paip yang diperlukan untuk membaiki tandas sebuah pesawat?

Dalam satu kejadian yang berlaku ke atas kapal terbang Norway baru--baru ini, tiada seorang pun daripada 85 tukang paip yang menaiki penerbangan tersebut dapat menyelesaikan masalah itu.

Penerbangan DY1156 berlepas dari Oslo Gardermoen pada pukul 9.34 pagi 27 Januari untuk menuju ke Munich, Jerman.

Pesawat itu hanya dapat terbang sehingga sempadan Sweden sebelum terpaksa berpatah balik, berpusing di ruang udara Hedmark sebanyak empat kali bagi menghabiskan lebihan bahan api sebelum mendarat di Oslo.

Penerbangan itu terpaksa dibatalkan gara-gara masalah tandas pesawat, kata penasihat komunikasi Norway, Fatima Elkadi kepada agensi berita negara itu, Dagbladet.

Seramai 85 tukang paip yang menaiki penerbangan Norwegian.com tidak dapat berbuat apa-apa untuk membaiki kerosakan tandas pesawat terbabit.

Ironinya, terdapat seramai 85 tukang paip yang rata-ratanya dari syarikat paip Rørkjøp.

Ketua Pegawai Eksekutif Rørkjøp, Frank Olsen berkata, beliau mungkin melakukan sesuatu apabila mengetahui tentang perkara itu namun insiden tersebut disebabkan oleh masalah teknikal.

"Kami ingin membaikinya, tapi malangnya ia hanya boleh dilakukan dari luar pesawat dan kami tidak akan mengambil risiko menghantar seorang tukang paip untuk bekerja pada ketinggian 10,000 meter.

"Ia adalah situasi yang bagus tapi ironinya tandas pesawat telah rosak," katanya kepada Dagbladet.

Seorang tukang paip dari syarikat Ulstein, Hans Christian Ødegård berkata: "Sangat ramai tukang paip di dalam pesawat itu, tapi ia terpaksa patah balik disebabkan oleh masalah tandas. Ada jenaka yang bagus tentang insiden ini."

Juruteknik di Gardermoen membaiki tandas pesawat itu dan akhirnya kapal terbang tersebut berjaya tiba di Munich pada pukul 12 tengah hari. - Independent UK

tandas pesawat

Artikel Lain