KEJADIAN puluhan tompokan batu yang ditemui di Sungai Cibojong, daerah Cidahu, Jawa Barat, masih jadi misteri tetapi beberapa langkah diambil untuk membongkar mengenai kejadian ini. Setiausaha Desa Jayabakti, Agus Muzamil berkata pihaknya sangat mengalu-alukan jika ada yang mengaku membuat puluhan tompok batu tersebut yang menimbulkan kekecohan penduduk setempat. "Kami gembira kalau ada yang mengaku dan mahu mengadakan pertemuan untuk memberi pengesahan," kata Agus, memetik Kompas. Katanya, pihak berkuasa juga akan memberikan penghargaan kepada pembuat tompokan batu tersebut kerana hasil kerjanya dianggap positif dan memiliki nilai seni. "Kampung kami juga akan jadi terkenal, walaupun keadaan agak kecoh sekarang. Sebenarnya kecoh itu kerana jumlahnya banyak, berpuluh-puluh," katanya. "Jika pembuatnya juga warga Cidahu, kami akan memberikan kemudahan untuk kegiatannya diteruskan," tambah Agus. ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Kampung Gempar Misteri Batu Tersusun Sendiri Katanya, selepas penemuan puluhan tompokan batu itu, mereka mendapat tahu tentang wujudnya kegiatan tersebut di internet dan mendapat beberapa gambar di Facebook dan video di YouTube. "Saya yakin tompokan batu ini dibuat manusia. Saya juga sempat mencubanya di rumah dan boleh menyusun lima hingga enam batu ke atas," katanya. Bagaimanapun Agus berkata tompokan batu itu diruntuhkan selepas mengambil kira keselamatan penduduk, dengan kebimbangan banjir. "Memang pada Khamis airnya tidak besar. Tapi sekarang masih musim hujan, kita bimbang air naik dan berlaku banjir," katanya. Sementara itu, sebuah kumpulan yang bernama 'Rock Balancing Indonesia/Balancing Art Indonesia' dalam akaun Facebooknya mengaku mengetahui siapa yang membuat tompokan batu tersebut. Malah terdapat juga foto seseorang yang sedang membuat tompokan batu berlatarbelakangkan beberapa tompokan yang telah siap yang dimuat naik. -Kompas