suria

Lelaki Iras Kim Jong Un Gemparkan Penonton Lagi

SEORANG lelaki yang memiliki wajah iras pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, tidak serik dihalau apabila sekali lagi menggemparkan penonton sewaktu berlangsungnya perlawanan hoki ais pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang.

Sekumpulan pasukan sorak Korea Utara yang berada di situ turut terkejut apabila lelaki itu senyum sambil melambai tangan dan mengibar bendera ke arah penonton.

Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Howard bagaimanapun diiring keluar oleh pasukan polis Korea Selatan gara-gara tindakannya itu.

Sewaktu disoal, Howard berkata, dia tidak melakukan sebarang kesalahan, malah hadir untuk memberi sokongan sahaja.

Seorang wartawan yang berada di situ memberitahu Howard bertutur dalam bahasa Inggeris menggunakan loghat British.

Difahamkan, dia adalah warga warganegara Australia yang menetap di Hong Kong.

"Polis menuduh saya membuat kenyataan berbaur politik. Ini tuduhan mengarut, saya hanya tunjuk muka dan kibar bendera sahaja.

"Memang ini wajah asal saya, tiada apa yang boleh saya lakukan. Saya dilahirkan begini," ujar Howard yang pernah menggemparkan ramai kerana aksi sama sebelum ini.

Minggu lalu, dia dirakam sedang bersalaman dengan pengajuk Donald Trump sewaktu acara pembukaan sukan itu.

Namun, kehadiran mereka tidak lama setelah dihalau. Sebelum acara itu, mereka berdua turut mendapat perhatian orang ramai di luar stadium.

Malah, ramai yang menyangka mereka adalah pemimpin Amerika Syarikat dan Korea Utara yang sebenar.

Menurut Howard, dia hanya mahu menyampaikan mesej keamanan sejagat kepada orang ramai.

"Saya berharap Donald Trump dan Kim Jong Un yang sebenar dapat berbaik-baik dan tidak mencetuskan perang dunia ketiga," katanya dalam nada berseloroh.

Tambahnya, mereka berdua turut bertemu dengan kakak Kim Jong Un, Kim Yo Jong, dan Timbalan Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence sebelum masuk ke stadium.

Dalam pada itu, Kim Yo Jong merupakan ahli keluarga pemerintah Korea Utara yang pertama melepasi sempadan negara untuk ke Korea Selatan.

Acara yang berlangsung hanya 80 kilometer dari zon yang memisahkan dua negara itu menyaksikan atlet kedua-dua negara berarak bersama sambil mengibarkan bendera kesatuan mereka.

Malah, Yo Jong juga dilihat bersalaman dengan presiden Korea Selatan, Mon Jae-in dan dijangka menghadiri acara makan tengah hari di rumah presiden itu pada Sabtu.


Howard, Kim Jong Un

Artikel Berikut

Ni Kek Ke Patung?

Artikel Lain