SEORANG wanita menggunakan cara luar biasa untuk 'mengajar' seorang lelaki. Papan iklan itu mengumumkan bahawa lelaki berkenaan didakwa telah menghamilkannya sebelum hilang tanpa dikesan, termasuklah menyekatkan di Facebook. Foto papan iklan besar yang aneh di atas bangunan antara Jalan Mariano Jiménez dan Salvador Nava Avenue, di San Luis Polosi, Mexico ini tular sejak beberapa minggu lalu. Ia menunjukkan gambar seorang lelaki memakai topi koboi, bersama dengan nama penuhnya dan mesej yang sangat peribadi daripada wanita yang menyewa papan iklan itu yang menyatakan bahawa dia kini hamil dan nampaknya ini satu-satunya cara untuk 'mengajar' lelaki tersebut supaya bertanggungjawab. Dia menulis di papan iklan besar itu: "Dikehendaki! Carlos Orozco, ujian kehamilan positif, saya hamil." Dia kemudian menyebut: "Dia menyekat saya di Facebook, dan tidak menjawab panggilan saya" dan mengakhirinya dengan 'rakan kamu (seperti yang kamu gunakan untuk memperkenalkan saya)'. Papan iklan ini tular di media sosial beberapa minggu lalu, mendapat perkongsian di Facebook dan Twitter dan mendapatkan liputan di laman berita. Kebanyakan orang mendapati papan iklan itu lucu, tetapi tidak semua menganggapnya begitu. Peguam Juan Jesús Lozano memberitahu media tempatan bahawa 'sesetengah warganegara menganggap bandar itu sebagai satu dinding Facebook yang besar, tetapi tidak, kerana di dunia nyata, perkara-perkara seperti ini mempunyai akibat.' Presiden Suruhanjaya Perdagangan, Pengiklanan dan Acara Majlis Bandaraya San Luis Potosí, Maria Sanjuana Balderas Andrade juga menyatakan tindakan menggunakan papan iklan untuk mengecam orang lain amat 'dikesalkan'. Tidak jelas jika tindakan itu berjaya, tetapi ia adalah percubaan yang baik. -Telemundo