SYDNEY: Percutian menaiki kapal persiaran mewah bersama keluarga bertukar pengalaman paling buruk apabila insiden pergaduhan tercetus hingga menimbulkan situasi huru hara. Sekurang-kurangnya tujuh kejadian melibatkan beberapa keluarga yang sedang bercuti di kapal persiaran itu. Malahan, ada kumpulan yang telah diarahkan menjalani 'tahanan rumah' di kapal itu bagi mengelak situasi lebih buruk. Bagaimanapun, insiden yang berulang itu mengakibatkan 23 ahli keluarga sama telah dihalau dari kapal itu selepas pergaduhan antara mereka menyebabkan kecederaan. Kapal persiaran South Pacific yang dalam pelayaran selama 10 hari telah berpatah balik ke pelabuhan di sini. Kumpulan sama dikatakan telah mengganggu penumpang lain di kapal berkenaan selama beberapa hari. "Ada yang menarik anak mereka keluar dari kolam renang kerana ketakutan susulan pergaduhan yang tercetus," kata saksi kepada The Herald Sun. Menurut jurucakap Carnival Cruise Line, Jennifer Vandekreeke berkata, kekecohan yang berlaku itu melibatkan satu keluarga. Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas sebuah kapal persiaran terpaksa berpatah balik ke Sydney apabila berlaku pergaduhan dalam kalangan penumpang ketika beratur untuk menggunakan tandas. Seorang wanita warga Rusia telah didakwa kerana menyerang seorang lelaki menggunakan botol.-JapanToday