suria

Wanita Ini Dedah FaceTime Selamatkan Nyawanya

Opokua Kwapong

SEORANG wanita berkata, teknologi panggilan video FaceTime telah menyelamatkan nyawanya.

Opokua Kwapong, yang tinggal bersendirian di New York, sedang berhubung dengan kakaknya, Adumea Sapong, di Manchester, menggunakan aplikasi Facetime apabila Sapong sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan adiknya.

Dia juga sedar bahawa suara dan pertuturan adiknya tidak jelas.

Kwapong berkata pada ketika itu dia tidak menyedari betapa seriusnya situasi pada masa tersebut.

Wanita berusia 58 tahun itu bangun selepas terlelap pada tengah hari ketika Sapong membuat panggilan FaceTime, satu ciri panggilan video pada iPhone.

Kwapong berkata: "Kakak saya tengok saya dan kata dia dapat lihat ada sesuatu yang tak kena pada wajah saya.

"Dia juga beritahu percakapan saya tak jelas, tetapi saya fikir dia cerewet dan saya tidak mempercayainya."

Sapong berkata: "Apabila saya menghubungi Opokua, dia beritahu tak sihat, letih serta sukar berjalan.

"Saya kata mungkin dia perlu mengambil aspirin. Dia cuba mengambil segelas air tetapi tidak mampu. Kemudian saya lihat kepalanya terlentok dan saya beritahu dia perlu letak telefon dan segera berjumpa doktor.

"Dia fikir saya sedang membebel, jadi saya buat sidang video dengan seorang lagi adik perempuan saya yang merupakan seorang doktor dan dia juga dapat mendengar percakapannya yang tidak jelas. Kami berdua menyuruhnya meminta bantuan segera."

Adumea Sapong

Kwapong terus mematikan panggilan dan kemudian mendail 911.

Susulan pemeriksaan hospital, Kwapong didiagnosis mempunyai darah beku pada otak.

Strok telah menyebabkan dia lumpuh di sebelah kiri.

Kwapong, yang bekerja sebagai saintis makanan berkata: "Tidak ada keraguan bahawa FaceTime menyelamatkan nyawa saya.

"Sekiranya kakak saya tidak menyedari sesuatu yang pelik, situasi sekarang mungkin berbeza.

"Teknologi bukan sahaja menyelamatkan nyawa saya, tetapi juga membolehkan saya menjalani kehidupan sehingga kini.

"Saya banyak bergantung pada sidang video kerana saya tidak dapat membuat banyak perjalanan seperti yang saya buat sebelum ini untuk kerja saya."

Sapong berkata: "Anda dengar banyak cerita negatif tentang internet dan teknologi, tetapi saya fikir ini adalah satu contoh bagaimana teknologi boleh menjadi satu kekuatan untuk kebaikan.

"Sekiranya tak buat FaceTime, perbualan kami sekarang mungkin sangat berbeza."

Ketua pencegahan dan kempen di Persatuan Strok, Esmee Russell berkata: "Strok boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sebarang peringkat umur, bila-bila masa, sebab itu penting agar orang tahu kepentingan bertindak pantas yang mungkin dapat menyelamatkan nyawa."

Strok berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak tersekat oleh bekuan darah (dikenali sebagai strok iskemia) atau kerosakan akibat pendarahan yang menyebabkan sel-sel otak di kawasan yang terjejas mati (dikenal sebagai stroke haemorrhagic). -BBC News

FaceTime, strok

Artikel Lain