suria

Priyanka Chopra Batal Kontrak Elak Terpalit Isu Transaksi Palsu RM688 Juta

AKTRES Priyanka Chopra memilih untuk menamatkan kontraknya sebagai duta jenama barang kemas Nirav Modi kerana enggan diheret dalam dakwaan penyelewengan bernilai ratusan juta melibatkan pereka terkemuka itu.

Dilantik sejak awal 2017, pelakon Bollywood yang turut mencipta nama di Hollywood itu semakin menjarakkan hubungannya dengan Modi kerana imejnya yang semakin tercalar melibatkan wang sebanyak Rs11,400 crore (RM688 juta).

"Susulan dakwaan terhadap Modi, Priyanka Chopra memilih untuk menamatkan kontraknya dengan jenama Nirav Modi," kata jurucakap aktres itu kepada ANI.

Sebelum ini, timbul spekulasi pelakon wanita itu akan menyaman Modi susulan pembabitannya dalam rasuah Bank Nasional Punjab.

Bagaimanapun, jurucakapnya menafikan laporan itu dan memaklumkan aktres itu akan mendapatkan nasihat peguam berkaitan kontraknya dengan jenama berkenaan.

Ketika ini, Modi dan keluarga dikatakan telah melarikan diri ke luar negara sebelum pihak Biro Siasatan Pusat (CBI) memulakan siasatan terhadapnya berkaitan transaksi palsu.

Berita berkaitan isu ini telah mula tersebar sejak beberapa hari lalu apabila Modi dikatakan telah memperoleh surat daripada dua kakitangan bank berkenaan untuk wang berkenaan ditunaikan di luar negara.

Transaksi palsu itu terbongkar pada Februari dan pihak bank bertindak pantas memaklumkan kepada CBI untuk tindakan lanjut.-IndiaToday

Priyanka, Nirav Modi

Artikel Berikut

Artikel Lain