suria

Kondom Buatan China Terlalu Kecil - Menteri Zimbabwe

SEBUAH syarikat pengeluar kondom di China memberitahu ia mempertimbangkan untuk menghasilkan produknya dalam pelbagai saiz.

Ia susulan aduan Menteri Kesihatan Zimbabwe, David Parirenyatwa bahawa alat pencegah hamil buatan China dan dieksport ke negara Afrika itu terlalu kecil untuk lelaki tempatan.

Menurut laman berita NewZimbabwe.com, Parirenyatwa membuat kenyataan tersebut pada majlis di ibu negara Harare minggu lalu bagi menggalakkan pencegahan HIV/Aids.

"Wilayah selatan Afrika mencatatkan kes HIV tertinggi dan kita menggalakkan penggunaan kondom," memetik Parirenyatwa sebagai berkata.

"Golongan belia kini mempunyai kondom tertentu yang disukai mereka, tetapi kita tidak mengeluarkannya. 

"Kita import dari China dan segelintir lelaki mengadu ia terlalu kecil," tambahnya.

Parirenyatwa menambah, syarikat-syarikat di Zimbabwe perlu mengeluarkan kondom daripada hanya bergantung kepada import semata-mata.

Zimbabwe merupakan salah satu negara di Afrika Sub-Sahara yang mencatatkan kes tertinggi HIV/Aids, dengan anggaran 13.5 peratus daripada populasi dewasanya dijangkiti virus itu.

Penggunaan kondom merupakan cara utama untuk mengehadkan penyebaran jangkitan tersebut. - South China Morning Post

Zimbabwe, kondom

Artikel Lain