TIADA setitis pun air dalam tab mandi melimpah ketika Boney Kapoor menemui isteri kesayangannya, Sridevi yang tidak sedarkan diri selepas masuk ke bilik mandi hotel penginapannya di Dubai. Pertama kali menceritakan kejadian pada 24 Februari lalu kepada kenalannya, penganalisa filem, Komal Nahta, produser dan suami pelakon terkenal itu nyata begitu terkesan dengan insiden yang menimpa isterinya selama 22 tahun itu. Bapa kepada dua anak perempuan hasil perkahwinan dengan Sridevi ini juga memberitahu bagaimana dia merancang perjalanan pada saat akhir untuk memberi kejutan buat isterinya yang berusia 54 tahun itu. Sebaik tiba di bilik hotel dan isterinya ternyata gembira dan terkejut dengan kehadirannya, pasangan itu sempat meluangkan masa bersama dengan penuh kasih sayang beberapa jam sebelum Sridevi ditemui tidak bernyawa dalam tab mandi. Penggiat filem berusia 62 tahun itu berhasrat membawa isterinya keluar untuk makan malam dan Sridevi ke tandas untuk bersiap untuk meluangkan masa bersama suaminya pada hari kejadian. Pada pagi 24 Februari, Boney menelefon isterinya tetapi tidak memaklumkan rancangan untuk terbang ke Dubai. Menurut Boney, hanya dua kali dalam masa 24 tahun di mana dia dan Sridevi tidak dapat melalui perjalanan bersama ke luar negara iaitu ketika isterinya ke New Jersey dan Vancouver, kedua-duanya untuk penggambaran filem. Menceritakan kenangan pahit itu, sebaik tiba di Hotel Jumeirah Emirates Tower kira-kira pukul 6.15 petang, mereka bersembang selama 15 minit dan kemudiannya memutuskan untuk makan malam bersama. "Saya ke ruang tamu, manakala Sridevi ke bilik utama untuk mandi dan bersiap," katanya seperti disampaikan kepada Nahta. Sementara menunggu isterinya siap, Boney menonton perlawanan kriket dan pada kira-kira pukul 8 malam dia tertanya-tanya kenapa isterinya masih belum muncul, malah bimbang restoran yang akan dituju dipenuhi pelanggan. Susulan itu, Boney memanggil isterinya dari ruang tamu tetapi tiada jawapan diterimanya, membuatkan dia terus ke bilik utama dan mengetuk pintu bilik mandi. Ketika itu, Boney yang panik cuba membuka pintu bilik mandi berkenaan dan dia lega apabila mendapati ianya tidak berkunci dari dalam. Bagaimanapun apa yang dilihatnya selepas itu suatu mimpi ngeri yang tidak dapat dilupakannya. Tab mandi dipenuhi air dan tubuh Sridevi terbenam sepenuhnya dari kepala ke kaki dalam tab itu. Boney terkejut melihat situasi isterinya terus mengangkatnya tetapi ketika itu Sridevi tidak bernyawa lagi. "Sridevi telah lemas! Dunia Boney telah musnah sepenuhnya," demikian catatan blog Nahta. Bedah siasat mengesahkan aktres itu lemas dalam tab mandi selepas serangan jantung. "Sama ada dia lemas dan kemudiannya tidak sedarkan diri atau dia tertidur atau tidak sedarkan diri dan kemudiannya lemas, tiada siapa yang tahu. Tetapi mungkin tiada pergerakan dalam tab mandi itu kerana jika Sridevi menggerakkan tangan dan kakinya tentu air dalam tab mandi itu akan melimpah, sebaliknya tiada setitis air pun di luar kawasan tab itu," kata Nahta seperti diceritakan Boney kepadanya.