suria

Bayi Tujuh Bulan 'Lahir' Kembar Berjaya Diselamatkan

-foto SWNS

SEORANG bayi berusia tujuh bulan selamat 'melahirkan' kembarnya yang tidak dapat berkembang dengan sempurna.

Ibu bapa kepada Prinsa Rathava menyedari perut anak perempuan mereka itu membesar dengan cepat.

Bimbang dengan keadaan itu, Manisha dan Motisingh Rathava membawanya ke hospital di mana pembedahan dilakukan untuk membuang janin tidak sempurna itu pada 19 Februari.

Keadaan itu, yang dikenali sebagai 'fetus in foetu' sangat jarang berlaku dengan hanya 200 kes dilaporkan di seluruh dunia.

Janin seberat 130 gram dikeluarkan dari bahagian antara usus dan buah pinggang Prinsa.

Doktor yang mengendalikan pembedahannya di Hospital Awam di Gujarat, India, berkata kanak-kanak itu bagaimanapun akan membesar sebagai kanak-kanak yang sihat.

Ketua jabatan pembedahan pediatrik, Dr Rakesh Joshi, berkata: "Dalam kes ini, janin yang belum berkembang mempunyai lajur vertebra normal, tisu otak, kepala, tunas anggota badan dan lubang dubur.

"Ibu bapa kanak-kanak itu sedar terdapat benjolan pada anak mereka ketika usianya lima bulan tetapi tidak mengendahkannya.

"Disebabkan ketulan itu berkembang pada kadar yang membimbangkan, mereka membuat pemeriksaan di Baroda dan kemudian datang ke hospital ini.

"Pada 15 Februari, bayi itu dimasukkan ke hospital ini. Dia sedang pulih sekarang dan kami akan dibenarkan keluar tidak lama lagi.

"Tidak akan ada komplikasi masa depan dalam kes ini dan dia akan membesar secara normal.

"Pembedahan adalah sukar kerana janin yang belum berkembang berada di belakang usus dan antara dua buah pinggang.

"Pembentukan ini disebabkan oleh pemisahan kembar yang tidak lengkap, yang gagal berkembang, sebaliknya menjadi bahagian dalam kembar yang sihat," katanya.

Satu pasukan yang terdiri daripada enam doktor melakukan pembedahan ke atas Prinsa, termasuk tiga ahli anestetik kanan.

Ahli medik berpendapat ibu Prinsa, yang belum pernah melahirkan bayi sebelum ini tidak membuat ujian ultrasound semasa kehamilan.

Keadaan 'foetus in foetu' sangat jarang berlaku dan dianggarkan hanya berlaku pada 1 dalam 500,000 kelahiran hidup.

fetus in foetu, janin

Artikel Lain