suria

Makin Ramai Makan Daging Kitar Semula Dari Tapak Pelupusan

HIDUP di kawasan setinggan yang kotor di Manila, Filipina adalah sangat sukar dan untuk meletakkan sepinggan makanan di atas meja setiap hari adalah satu cabaran besar.

Atas sebab inilah 'pagpag' begitu popular.

Istilah ini biasanya merujuk kepada debu dari pakaian atau permaidani, tetapi di kawasan yang dipenuhi penduduk miskin, ia bermaksud sisa daging dari tapak pelupusan yang dipilih, dibersihkan dan digunakan semula menjadi makanan murah sebelum dijual kepada penduduk miskin lain.

Paparan skrin peniaga pagpag dari video di Youtube.

Pagpag sudah lama menjadi makanan penduduk miskin di Filipina, namun pada tahun-tahun kebelakangan ini ia telah menjadi perniagaan menguntungkan bagi pemungut sampah dan pemilik gerai kecil yang membeli daging yang dibuang pada harga murah, dan mengitar semula daging itu menjadi pelbagai hidangan.

Pemungut sampah yang sebelum ini hanya berminat dengan logam dan plastik yang boleh dikitar semula kini memberi tumpuan kepada sisa makanan dan makanan yang telah tamat tempoh dari rangkaian restoran makanan segera dan pasar raya, membungkusnya dalam beg plastik dan menjualnya untuk mendapat keuntungan kecil.

Sebungkus daging pagpag biasanya dijual pada harga kira-kira 20 peso (RM1.50) dan cukup untuk pemilik gerai kecil memasaknya menjadi beberapa bungkus hidangan murah, yang kemudiannya dijual sekitar 10 peso (RM0.75).

Paparan skrin video BBC di Youtube.

Tetapi sebelum daging itu dimasak semula, ia dibasuh dahulu untuk membuang kotoran yang mungkin melekat padanya ketika berada di tapak pelupusan dan bahagian tulang dikeluarkan.

Kemudian ia dicampur dengan pelbagai sos, sayuran dan rempah sebelum dijual kepada pelanggan miskin lain.

"Dengan kehidupan kami sekarang, ini banyak membantu. Apabila anda membeli sebungkus pagpag berharga beberapa peso, anda sudah boleh memberi makan satu keluarga," kata seorang penduduk setinggan kepada Reuters.

Pagpag pernah menjadi pilihan terakhir untuk penghuni setinggan, hidangan yang mereka hanya akan makan apabila terdesak, tetapi dalam keadaan sekarang yang semakin sukar untuk mereka membeli makanan sempurna, pagpag telah menjadi makanan harian untuk banyak keluarga miskin.

Walaupun kebanyakan daging kitar semula ini telah dimakan oleh orang lain sebelum dibuang, mereka yakin ia selamat untuk dimakan kerana ia dibasuh sebelum dimasak semula.

Paparan skrin video BBC di Youtube.

Ada juga yang menganggapnya sebagai makanan lazat dan berkhasiat, tetapi pihak berkuasa kesihatan di Filipina menganggapnya sebagai risiko kesihatan utama.

Salome Degollacion, dari 'Helping Land' di Manila, memberitahu CNN bahawa ramai telah meninggal dunia akibat makan pagpag, tetapi ketika mereka tiada pilihan lain, dia berpandangan risiko itu patut diambil.

"Ia adalah penghinaan peribadi terhadap golongan miskin yang perlu makan dari pinggan orang lain. Tetapi ia adalah mekanisme kelangsungan hidup bagi golongan paling miskin," kata pakar pembangunan sosial, Melissa Alipalo.

"Mereka terpaksa melakukannya kerana mereka tidak mempunyai cukup wang untuk membeli makanan yang perlu mereka beli," kata pengurus kesihatan dan pemakanan di Philippine Community Fund Maria Theresa Sarmiento.

Dengan penyelesaian yang tidak nyata, populariti pagpag mungkin meningkat sekali gus meningkatkan risiko keracunan makanan dan keadaan kesihatan yang mengancam nyawa.

pagpag, makanan setinggan

Artikel Lain