SYARIKAT penerbangan bajet Indonesia, Lion Air, sedang menyiasat penumpang yang didakwa mencetuskan panik dalam penerbangan Jakarta-Padang, Ahad. Menurut kenyataan rasmi syarikat penerbangan itu, seorang penumpang yang dikenal pasti sebagai FAR mula menunjukkan tanda-tanda resah kira-kira 30 minit selepas pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta. FAR dilaporan mengeluarkan jaket keselamatan dari bawah kerusi dan memakainya, sebelum melakukan perkara yang sama untuk neneknya yang duduk di sebelahnya. Ketika kru kabin meminta dia bertenang, dia berjalan ke arah depan pesawat dan memberi amaran kepada penumpang lain bahawa dia dapat 'menghidu' bahaya jika pesawat itu tidak berpatah balik ke Jakarta, menyebabkan mereka panik. Kru kemudian membuka jaket keselamatan yang dipakainya dan memintanya duduk dengan betul, tetapi dia dilaporkan merampas jaket tersebut, memakainya semula dan terus memberi amaran kepada orang lain mengenai bahaya yang dapat dirasakannya. Setelah tiba di Lapangan Terbang Minangkabau Padang, dia ditangkap oleh polis lapangan terbang. "Satu siasatan oleh pelbagai pihak, termasuk keselamatan penerbangan, masih dijalankan untuk menentukan mengapa FAR bertindak sedemikian, yang hanya boleh menjejaskan keselamatan penerbangan," kata Jurucakap Lion Air Danang Prihantoro, memetik Kumparan. Danang menambah FAR tidak menunjukkan tanda-tanda tingkah laku luar biasa sebelum menaiki penerbangan. Tidak jelas sama ada FAR akan menghadapi tuduhan jenayah, tetapi di bawah undang-undang Indonesia, tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan penerbangan boleh dihukum sehingga dua tahun penjara atau denda Rp500 juta.