suria

Wanita Tembak Kekasih Demi Raih Tontonan YouTube Terima Padah

SEORANG wanita berusia 20 tahun di Minnesota, Amerika Syarikat (AS) dijatuhkan hukuman penjara selama 180 hari pada Rabu kerana menembak mati kekasihnya ketika membuat lagak ngeri untuk disiarkan di YouTube pada Jun tahun lalu.

Menurut laporan Star Tribune, Monalisa Perez yang mengandung anak kedua mereka ketika kejadian berlaku turut diharamkan daripada memiliki senjata api atau menerima bayaran untuk menceritakan insiden tersebut.

Monalisa menembak Pedro Ruiz III ketika merakamkan video YouTube untuk laman pasangan itu.

Ketika rakaman yang tidak pernah disiarkan itu, Ruiz dilaporkan memegang sebuah ensiklopedia di bahagian dada, sementara Monalisa berdiri berhampirannya.

Lagak ngeri itu dilakukan bagi menguji sama ada sebutir peluru boleh melepas buku tersebut.

Monalisa turut memuat naik tweet - yang tidak pernah dipadamkan - tentang video tersebut sebelum insiden mengerikan itu berlaku.

Monalisa.

Tweet tersebut berbunyi: "Saya dan Pedro mungkin akan merakamkan satu daripada video paling bahaya. Idea dia, bukan saya."

Selepas lagak ngeri itu gagal, Monalisa lekas menghubungi pasukan kecemasan: "Kami sedang merakam video YouTube dan kejadian tidak diingini berlaku," sambil menambah bahawa segalanya dirakam ketika kejadian berlaku.

Pendakwaraya, James Brue berkata, "...aksi bodoh ini sudah diimpikan, dirancang dan dilakukan oleh Pedro Ruiz dan defendan dengan cara salah dan tragis, mempercayai lagak ngeri itu selamat dilakukan."

Menurut aduan jenayah yang dibuat, Monalisa memberitahu polis bahawa "Pedro Ruiz III mencuba beberapa kali untuk mempengaruhinya menembak buku itu ketika dia (Ruiz) memegangnya untuk disiarkan di YouTube."

Sementara itu, portal The Ringer pula menyifatkan kematian Ruiz adalah kisah tabloid moden yang cuba meraih populariti Internet dan 'ketoksikan' mendapatkan like (tanda suka).

Ia bukanlah kali pertama berlaku yang mana pemilik akaun YouTube mengejar jumlah tontonan dan penyokong sehingga sanggup melakukan perbuatan bahaya.

Tahun lalu, seorang YouTuber, Jay Swingler hampir sesak nafas ketika merakam video kepalanya tersekat di dalam ketuhar gelombang mikro dengan pes pengental (hardening paste). - Motherboard

YouTube, lagak ngeri

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia