INILAH saat-saat paling menyayat hati bagi seorang jutawan apabila melihat kereta Ferrarinya yang berharga £200,000 dihancurkan. Zahid Khan ditahan oleh pegawai polis West Midlands pada 5 April tahun lalu dan keretanya yang berwarna putih, Ferrari 458 Spider dirampas. Khan memuat naik gambarnya bersama Ferrari miliknya sebelum disita. Khan berkata polis menahannya kerana mereka mengesyaki kereta itu dicuri, lapor Birmingham Mail. Tetapi dia mendakwa membeli kereta itu, yang dilelong secara sah, melalui orang tengah dan telah menghabiskan banyak masa dan wang terhadap kenderaan itu. Polis West Midlands kemudian menyatakan Ferrari itu telah dilupuskan kerana ia tidak mempunyai insurans yang sah dan merupakan kenderaan Kategori B, yang diklasifikasikan sebagai tidak boleh digunakan dan bermakna ia harus dimusnahkan. Khan baru kini memperoleh video dramatik dari Polis West Midlands yang menunjukkan kereta kesayangannya dilupuskan dan menyiarkannya di laman Facebook. "Ini Ferrari saya, yang dimusnahkan polis secara tidak sah! "Mereka mengambil masa hampir setahun untuk melepaskan video ini," dakwanya. "Saya susah payah menyimpan wang untuk membeli kereta ini dan ia mempunyai nilai sentimental buat saya dan keluarga," katanya. Khan sebelum ini memberitahu bahawa dia akan berusaha mendapatkan semula kereta Ferrarinya melalui proses perundangan, tetapi mendapat tahu ia telah dimusnahkan tanpa dapat melihatnya ketika dia tiba di mahkamah. "Saya memesan beberapa bahagian dari Ferrari dan memasangnya di garaj yang diluluskan oleh Ferrari di Birmingham. "Polis memberitahu saya mereka tidak percaya bahawa kereta itu saya punya dan saya perlu membuktikan pemilikan. "Sejak itu saya cuba untuk mendapatkan kereta saya semula, cuba untuk membuktikan bahawa ia bukan bahagian yang dicuri dan saya pemiliknya. "Kemudian kami pergi ke Birmingham Crown Court pagi ini dan mendapati kereta itu telah musnah. "Tetapi saya tidak tahu apa-apa tentang itu dan saya tak percaya mereka telah memusnahkan kereta saya," katanya dalam laporan tahun lepas.