suria

Juruterbang Kantoi Joget Dengan Avatar, Main Snapchat Dalam Kokpit Ketika Penerbangan

SEORANG pembantu juruterbang easyJet dirakam sedang menari oleh kaptennya ketika mereka bermain dengan aplikasi Snapchat semasa mengendalikan pesawat dengan penumpang yang penuh pada ketinggian 30,000 kaki.

Tidak seorang pun antara mereka yang dilihat memantau alat kawalan atau memandang luar cermin kokpit ketika watak kartun dalam aplikasi tersebut dimasukkan dalam rakaman gambar dan video yang dibuat.

Video ini dirakam semasa penerbangan dari Paris ke Madrid pada Rabu dan disiarkan di akaun media sosial kapten Michel Castellucci - @pilot_flyingnut.

Dalam satu lagi foto, Castellucci berposing dengan gambar beruang ditampal di wajahnya.

Penumpang yang marah memanggil mereka tidak bertanggungjawab dan tindakan itu juga dilihat berbahaya dan tidak profesional.

Castellucci, yang kerap ditugaskan untuk penerbangan ke dan dari London, berkongsi rakaman-rakaman tersebut di media sosial dengan kapsyen: "Pegawai pertama yang menari semasa terbang sedang buat kerja kertas."

Dalam video lain yang dikongsi oleh kapten itu, juga semasa penerbangan Paris ke Madrid, seekor burung hantu diletakkan dekat dengan pembantu juruterbang.

EasyJet sedang menyiasat video itu, sementara Castellucci dan rakannya berdepan hukuman berat.

Rakaman ini dapat dibuat kerana penumpang tidak sedar apa yang sedang berlaku di sebalik pintu kokpit.

Castellucci menyiarkan rakaman itu di akaun Instagram dan Facebooknya dengan menambah emotikon pesawat dan wajah ketawa serta #easyjet, #a320 dan #pilotlife.

Seorang penumpang berkata kepada The Sun: "Juruterbang EasyJet menari semasa penerbangan. Tak bertanggungjawab."

Seorang lagi berkata: "Kedua-dua mereka di kokpit tidak tumpu pada kawalan, hanya bersenang-lenang. Sesuatu yang buruk boleh berlaku dalam beberapa saat, walaupun pelayaran berada dalam kawalan.

"Ia bahaya, tidak profesional dan menggambarkan imej yang salah."

Castellucci yang berpangkalan di Luxembourg kerap memuat naik gambar diri sendiri dan gambar rakan sekerjanya di tempat kerja dan ketika transit.

Video tarian kokpitnya telah dilihat sebanyak 6,325 kali dan tular beberapa jam selepas ia disiarkan sebelum akauan tersebut dipadam.

Seorang pengguna menulis: "Jadi inilah yang dilakukan oleh juruterbang ketika mereka bosan."

Sebagai tindak balas kepada kapsyen lain - menari di kokpit, netizen menjawab: "Banyak main di kokpit."

Pengguna Snapchat boleh menambah avatar pilihan mereka dalam apa jua persekitaran melalui kamera aplikasi.

Castellucci yang mempunyai seorang anak sebelum ini menampal seekor jerung pada video pembantu juruterbang yang sedang menunggu untuk berlepas.

Seorang sumber dalam penerbangan berkata: "Mungkin tak jadi masalah apabila meletakkan kartun dan menari ketika di darat."

"Tiada penumpang mahu berfikir bahawa kapten mereka lebih memberi tumpuan untuk menghiburkan pengikutnya dalam talian daripada memastikan keselamatan." -TheSunUK

SnapChat, juruterbang

Artikel Lain