LAPORAN media Jepun menyatakan tren khas Korea Utara tiba di Beijing dengan kawalan keselamatan luar biasa pada Isnin, menunjukkan bahawa tren tersebut mungkin dinaiki seorang perwakilan penting negara itu. Seorang jurucakap Kementerian Luar China berkata dia tidak tahu tentang keadaan itu dan tidak memberi komen lanjut. Media negara Korea Utara tidak membuat sebarang laporan kunjungan delegasi ke China. Rangkaian televisyen Jepun NTV dan penyiar awam NHK melaporkan ketibaan kereta api itu dengan kawalan keselamatan ketat di bandar, menunjukkan ia sedang dinaiki oleh seorang pegawai kanan. Paparan skrin siaran laporan oleh NHK World. Laporan itu mencetuskan spekulasi bahawa pemimpin Kim Jong-un mungkin berada di dalam kereta api tersebut. Jong-un dijangka mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada akhir April dan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjelang Mei. Walaubagaimanapun, tidak timbul cakap-cakap mengenai rancangan Jong-un untuk menghadiri sidang kemuncak bersama Beijing. China telah menjadi salah satu daripada sekutu Korea Utara yang paling penting, tetapi hubungannya menjadi dingin kerana pembangunan senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh oleh negara itu. Kawalan keselamatan ketat dilaporkan di Friendship Bridge sebelum kereta api itu melepasi China dari Korea Utara dan terdapat laporan ia telah melalui beberapa stesen dalam perjalanan dari Korea Utara ke Beijing. Rangkaian NTV berkata tren hijau dan kuning itu kelihatan sangat mirip dengan tren yang dinaiki bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, bapa kepada Jong-un ke Beijing pada tahun 2011 dan mempunyai 21 buah gerabak. Video yang disiarkan di NTV juga menunjukkan sebuah limosin hitam yang menunggu di stesen keretapi dan barisan tentera China berarak di platform kereta api. Video itu tidak menunjukkan sesiapa pun turun dari kereta. Jurucakap White House Raj Shah pada Isnin berkata AS tidak dapat mengesahkan laporan bahawa Jong-un melawat China. Shah mengulangi rancangan Trump untuk bertemu dengan Jong Un, mengatakan bahawa kempen tekanan antarabangsa yang diketuai AS terhadap Pyongyang telah menunjukkan hasil apabila berjaya membawa Korea Utara ke meja perbincangan. -AP