suria

Tak Jadi Beli Kereta Baharu Demi Kucing Tua Dianggap Macam Manusia

SEEKOR kucing berusia 17 tahun menderita kegagalan buah pinggang dan dianggarkan tidak dapat hidup lama.

Haiwan itu, Stanley bagaimanapun bernasib baik apabila tuannya sanggup mengeluarkan belanja sebanyak AS$19,000 untuk proses pemindahan buah pinggang.

Betsy Boyd hanya memperoleh gaji AS$46,000 setahun, bekerja sebagai profesor penulisan separuh masa dan suaminya, Michael adalah wartawan bebas dan seorang ayah yang hanya duduk di rumah untuk menjaga anak kembar mereka yang berusia tiga tahun.

Mereka bukanlah keluarga berada, tetapi apabila dibentangkan dengan peluang untuk menyelamatkan nyawa kucing kesayangan mereka dengan kos AS$19,000, mereka tidak teragak-agak.

Mereka juga bersetuju untuk menjaga 'penderma' selepas pemindahan itu, asalkan mereka dapat terus bersama Stanley.

"Stanley sayangkan saya sama seperti mana-mana manusia pernah menyayangi saya dan saya juga sayangkannya, saya mahu sentiasa bersamanya," kata Boyd baru-baru ini kepada PEOPLE Magazine.

"Saya sayang semua kucing saya, tetapi Stanley adalah satu-satunya kucing yang saya anggap ia manusia terperangkap dalam badan kucing.

"Dia dapat berkomunikasi dan menyuarakan sesuatu. Matanya dapat berinteraksi lebih baik berbanding mana-mana kucing yang pernah saya jumpa. Ketika saya keluar bekerja, dia menunggu saya di tingkap atau pintu depan rumah, macam anjing," katanya.

Boyd, dari Baltimore, Maryland, mengetahui tentang kegagalan buah pinggang Stanley pada November 2016, dan pakar menganggarkan kucingnya hanya mampu hidup selama tiga bulan.

Tetapi Stanley hidup lebih lama daripada prognosis mengerikan itu, membuatkan tuannya mahu menolongnya.

Apabila doktor haiwan memberitahu tentang adanya proses pemindahan buah pinggang pada kucing, dia memutuskan untuk melakukannya.

Pada mulanya, Boyd terganggu dengan keluarga dan rakan-rakannya yang berpandangan tidak berbaloi berbelanja tinggi untuk kucing tua seperti Stanley dan jumlah itu boleh digunakan untuk anak kembarnya sambung belajar.

Tetapi dia juga memikirkan tentang keluarga Stanley, jadi menggunakan wang simpanan mereka untuk membeli kereta baharu untuk menyelamatkan nyawa Stanley dirasakan lebih berbaloi.

Doktor di Ryan Veterinary Hospital, Philadelphia, di mana Stanley sepatutnya menjalani pemindahan itu, tidak menggalakkan Boyd meneruskan pembedahan.

Mereka bimbang sama ada kucing itu mampu melalui pembedaha, kerana usianya sudah lanjut, tetapi apabila diperiksa, mereka membuat pertimbangan semula.

Selain buah pinggangnya bermasalah, dia berada dalam keadaan baik, dari segi pemakanan dan ubat-ubatan.

Setelah mencari penderma yang sesuai, Stanley berjaya menjalani pemindahan itu yang dijalankan oleh pasukan doktor haiwan di Ryan Veterinary Hospital.

Setelah dikurung selama sebulan, Stanley dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan dapat menghabiskan masa dengan Boyd.

Stanley bagaimanapun tidak dibenarkan keluar bermain di luar kerana bimbang sesuatu berlaku kepadanya dalam tempoh beberapa bulan pertama selepas pemindahan.

"Apa-apa sahaja boleh berlaku. Jika Stanley mati cepat atau lambat, saya tahu saya telah buat yang terbaik untuknya. Kami sudah menjalani beberapa minggu yang sangat baik. Dia benar-benar gembira dan ia adalah sesuatu yang tak ternilai."

Boyd kini menunggu tanggal 28 Mei, yang mana Stanley akan melepasi tempoh pasca pembedahan selama enam bulan, tetapi dia yakin Stanley akan berjaya melepasi tempoh tersebut.

"Mengenali Stanley, saya fikir 'dia' adalah salah seekor kucing yang mampu mencecah usia 25 tahun," katanya.

Menurut ASPCA, kucing rumah rata-rata mampu hidup antara 13 dan 17 tahun.

kucing, buah pinggang

Artikel Sebelum

Artikel Lain