suria

Pelanggan Tidak Berhenti Ketawa Lepas Dihidang ‘Salad Paling Teruk Di Dunia’

Al Waha terletak di Notting Hill. - Mirror UK

SEORANG ibu mendakwa dia dihidangkan dengan 'salad paling teruk di dunia' ketika berkunjung ke sebuah restoran Lubnan di kawasan berkelas tinggi di London, United Kingdom (UK).

Dawn Williams berkata, dia ketawa terbahak-bahak ketika semangkuk sayur yang belum dipotong dihidangkan mentah-mentah oleh restoran Al Waha di Notting Hill kepadanya.

Antara sayuran tersebut adalah sebiji tomato, timun, bawang dan lobak merah.

Dia kemudiannya berkongsi gambar salad itu ke laman sosial dan ia tular dengan menerima lebih 1,300 tanda suka (like) dan perkongsian (share).

Netizen menyifatkan salad itu sebagai 'salad hipster yang belum siap'.

Namun, pengurus restoran itu mendakwa bahawa sayuran itu hanyalah pembuka selera dan bukannya dihidangkan sebagai salad.

Seleksi sayuran mentah yang dihidangkan di Al Waha.

Mohammad Antabli berkata, hidangan seperti itu memang ditawarkan di semua restoran ternama Lubnan di Mayfaid dan Knightsbridge.

"Ramai orang tidak paham dengan cara untuk makan hidangan kami. Ini adalah sayuran mentah (crudites).

"Kami cuba memperkenalkannya kepada pelanggan, tapi mereka yang tidak paham tentang tradisi makanan kami, selalu salah anggap tentangnya.

"Konsep ia dihidangkan mentah-mentah begitu adalah kerana kami mempunyai pelbagai hidangan yang kaya dengan rasa, jadi pelanggan boleh makan 'crudites' ini untuk menyegarkan lidah apabila mencuba hidangan lain pula," jelasnya.

Tetapi, Dawn berkata bahawa dia tetap tidak yakin dengan penjelasan tersebut dan berpegang bahawa sayuran mentah biasanya siap dipotong dan bukannya diletakkan dalam pinggan atau mangkuk dalam keadaan asalnya.

Wanita yang berasal dari Liverpool itu berkata: "Ia sudah tentu salad paling teruk di dunia. Tapi, ia membuatkan kami ketawa selama 10 minit.

"Saya tidak percaya dengan reaksi di Internet. Ia tular ke seluruh dunia. Semua orang anggap ia melucukan. Mereka tidak percaya ada tempat di Notting Hill yang menghidangkan makanan seperti ini."

Notting Hill adalah sebuah kawasan kejiranan kosmopolitan di utara Kensington yang menempatkan komuniti daripada pelbagai kaum.

Tambah Dawn, dia turut mempertimbangkan untuk meminta beg daripada restoran itu agar dapat membungkus pulang sayuran tersebut, namun teman lelakinya enggan berbuat demikian.

"Tanpa papan pemotong dan pisau sayur, adakah mereka mahu kami makan tomato macam makan epal?"

Hidangan tersebut turut dihidangkan bersama roti dan buat zaitun pada harga £1.50 (RM8.10). - Mirror UK

salad, Nottinhill

Artikel Berikut

Artikel Lain